Proton Commerce sasar tingkatkan volum, kadar kelulusan lebih tinggi pinjaman pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Proton Commerce sasar tingkatkan volum, kadar kelulusan lebih tinggi pinjaman pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Cabang pinjaman kewangan Proton, Proton Commerce Sdn Bhd menyasarkan untuk meningkatkan volum dan kadar kelulusan lebih tinggi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu, tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang berkata, syarikat meraikan pencapaian menjadi pembiaya utama bagi Proton Saga tahun lepas.

 

Katanya, bermula daripada suku keempat 2021, Proton Commerce telah menjadi peneraju pasaran untuk model itu selama lima suku berturut-turut dan pada November, yang mana 32% daripada jumlah unit Proton Saga dibiayai olehnya.

 

"Selain itu, berkuat kuasa serta-merta, kesahihan Letter Of Undertaking (LOU) yang dikeluarkan akan dilanjutkan daripada 90 hari kepada 180 hari, yang akan memudahkan pembeli model Proton yang menghadapi masa menunggu lama untuk varian pilihan mereka.

 

“Selain memanjangkan kesahihan LOU kami, Proton Commerce juga akan mengekalkan kadar faedah ditawarkan pada masa kelulusan dan pelanggan tidak perlu bimbang tentang peningkatan bayaran bulanan. 

 

"Ini akan memberi manfaat kepada pembeli Proton yang menunggu untuk kereta dan juga bantu mengawal belanjawan peribadi mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Proton Commerce mencatatkan peningkatan pertumbuhan volum sebanyak 54% pada 2022 berbanding tahun sebelumnya, sekaligus mencipta rekod baharu bagi pengeluaran pinjamannya.

 

 

PROTON
                                        Mooi Fi Phang

 

 

PROTON

 

 

Tahun lalu, Proton Commerce telah mengeluarkan sebanyak 22,467 pinjaman kepada pembeli Proton.

 

Angka itu dicapai selepas lapan daripada 12 bulan mencatat lebih daripada 2,000 pinjaman dengan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872. 

 

Pada masa sama, perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman yang mana Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59%. - DagangNews.com