Prospek HPMT Holdings kekal tidak menentu kesan penguncupan aktiviti pembuatan global - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prospek HPMT Holdings kekal tidak menentu kesan penguncupan aktiviti pembuatan global - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan prospek HPMT Holdings Berhad bagi bagi alat pemotong industri kekal tidak menentu selepas aktiviti pembuatan global menguncup.

 

Firma itu berkata, terdapat kemungkinan berlakunya gangguan bekalan tenaga dan seterusnya catuan di Kesatuan Eropah (EU) yang mungkin menjejaskan permintaan dalam jangka masa terdekat.

 

"Selain itu, kami percaya sekiranya pasaran terus lemah, pengedar akan mengamalkan corak pembelian yang berhati-hati.

 

"Selepas mengambil kira faktor-faktor berkenaan, kami kekal berhati-hati terhadap prospek perniagaan kumpulan itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM22 juta bagi 3QFY22 dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM1.6 juta menjadikan PATAMI teras bagi 9MFY22 kepada RM7 juta menurun sebanyak 33.9%.

 

Keputusan yang dicatatkan itu adalah di bawah jangkaan firma itu sebanyak 64% daripada unjuran tahun penuh dan ia didorong oleh margin keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Firma itu berkata, penurunan PATAMI teras sebanyak 42.2% adalah disebabkan oleh kombinasi hasil yang rendah iaitu penurunan 3.3% dari suku ke suku selain margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang rendah.

 

"Keadaan itu disebabkan permintaan yang rendah untuk alat pemotong sejajar dengan aktiviti pembuatan yang perlahan di pasaran utama manakala margin keuntungan menguncup akibat tekanan kos yang lebih tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 43 sen berbanding 50 sen sesaham sebelum ini. - DagangNews.com