PropertyGuru For Business bimbing pelanggan perusahaan maksimumkan peluang pertumbuhan | DagangNews.com Skip to main content

PropertyGuru For Business bimbing pelanggan perusahaan maksimumkan peluang pertumbuhan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - PropertyGuru Group Limited (PropertyGuru) melancarkan penyelesaian perusahaan baharu yang dikenali PropertyGuru For Business.

 

Penyelesaian perusahaan itu disasarkan untuk memberi panduan kepada pelanggan seperti pemaju hartanah, agensi, bank, penilai, perancang bandar dan pembuat dasar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan PropertyGuru Group, Hari V. Krishnan berkata, pihaknya berhasrat membawa ketelusan dalam perjalanan hartanah dan mewujudkan platform dipercayai bagi pencari kediaman dan rakan kongsi perniagaan.

 

Beliau berkata, menerusi kuasa bersepadu data proprietari, teknologi dan sumber manusia, pihaknya berharap dapat memperkasakan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan dalam membuat keputusan.

 

PropertyGuru For Business adalah untuk membimbing pelanggan memaksimumkan peluang pertumbuhan dan mengurangkan segala risiko.

 

property
Hari V. Krishnan

 

"Kami percaya pelancaran PropertyGuru for Business adalah tepat pada masanya kerana kami berharap dapat melengkapkan pelanggan perusahaan kami dengan data, alat dan maklumat yang betul untuk mengemudi keadaan ekonomi yang tidak menentu akan datang dan lebih bersedia untuk melayani pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penyelesaian PropertyGuru For Business termasuk perkhidmatan dan penyelesaian proprietari bersepadu seperti DataSense, ValueNet, FastKey, penyelesaian acara serta pemasaran sebagai perkhidmatan (MaaS).

 

Krishnan berkata, cerapan dan risikan pasaran platform DataSense (dulunya dikenali sebagai Vantage+) PropertyGuru For Business akan memperkenalkan set ciri baharu dan penyelesaian yang memenuhi keperluan pemaju hartanah untuk memanfaatkan analitik sebagai alat bagi menambah baik perniagaan mereka.

 

DataSense kini tersedia di Malaysia dan akan diperkenalkan tidak lama lagi dalam pasaran lain seperti Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

 

Pengenalan 'PropertyGuru For Business' adalah tepat pada masanya memandangkan industri hartanah di Asia Tenggara sedang mengalami kebangkitan teknologi, dengan lebih banyak perusahaan dan organisasi yang melihat ke arah pendigitalan, menjadikannya sebahagian daripada transformasi operasi mereka.

 

Pengarah Urusan Penyelesaian Data dan Perisian (DSS) PropertyGuru Group, Shyn Yee Ho-Strangas berkata, menyedari negara mempunyai pendekatan yang berbeza terhadap tanah dan pemilikan hartanah, transaksi dan proses pengurusan, PropertyGuru For Business akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan hartanah untuk menambah baik sistem dalam pasaran di mana ia beroperasi.

 

Beliau berkata, dengan memajukan dan membolehkan pendigitalan, semua pihak berkepentingan hartanah boleh memanfaatkan pandangan yang lebih mendalam untuk membuat keputusan lebih yakin dalam ekosistem hartanah yang lebih telus. - DagangNews.com