Program Jualan Terus Dari Ladang anjuran FAMA di Terengganu rekod penjimatan hampir RM95,000 sepanjang tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

Program Jualan Terus Dari Ladang anjuran FAMA di Terengganu rekod penjimatan hampir RM95,000 sepanjang tahun 2022

Orang ramai memilih sayur-sayuran segar yang dijual di program JTDL berhampiran Masjid Gelong Bilal dekat Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada 8 Februari 2023. - Gambar DagangNews2023
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 8 Feb - Peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara sejak kebelakangan ini menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa mengambil langkah berjimat-cermat untuk perbelanjaan mereka.

 

Prihatin dengan situasi itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu telah memperkasakan lagi Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) untuk memberi peluang kepada orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang lebih berpatutan.

 

 

Terengganu
Telur gred B yang dijual RM12.90 sepapan turut menjadi tumpuan pengunjung di program JTDL anjuran FAMA Terengganu. - Gambar DagangNews2023

 

 

Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, melalui program tersebut, pihaknya bekerjasama dengan pemimpin tempatan, masjid, usahawan dan syarikat korporat yang sudi menghulur sumbangan agar harga yang dijual lebih murah berbanding di pasaran biasa.

 

"Hasilnya, program JTDL yang bermula pada 4 Jun 2022 telah merekodkan penjimatan hampir RM95,000 hasil pelaksanaan JTDL di 46 lokasi seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

 

 

Nukman Hashim
                            Nukman Hashim

 

 

"Setiap kali program ini diadakan, pasti ada pihak tertentu yang menyumbang, contohnya RM1 potongan harga untuk setiap ekor ayam yang dijual.

 

"Oleh itu, FAMA Terengganu berharap dapat menjalin kerjasama dengan lebih banyak pihak untuk memperluaskan lagi program JTDL ini termasuk di kawasan pedalaman kampung dan penempatan terpencil yang jauh dari bandar agar manfaatnya dapat dinikmati golongan sasar," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program JTDL di kawasan letak kereta Masjid Al Ikhwan, Kampung Gelong Bilal dekat Pasir Panjang di Kuala Terengganu hari ini.

 

Beberapa peniaga yang ditemui pula berkata harga yang dijual pada program itu lebih murah berbanding kebiasaan dan bekalannya juga adalah segar serta berkualiti tinggi.

 

 

Muhammad Hisham Zuhdi
                       Muhammad Hisham Zuhdi

 

 

Peniaga sayur-sayuran, Muhammad Hisham Zuhdi, 31, berkata, harga yang dijual di Program JTDL adalah sama seperti di pasar borong dan lebih murah antara 15 hingga 20 peratus berbanding di pasar basah yang lain.

 

"Selain itu, kita juga ada banyak stok sayur-sayuran dan ulam-ulaman kampung yang dijual terus oleh petani, jadi secara tidak langsung harganya lebih murah kerana tiada orang tengah," katanya yang mula berniaga sejak 13 tahun lalu.

 

Seorang peniaga ikan, Syamsul Mustafa, 39, berkata, harga di program JTDL sangat murah berbanding harga di pasar basah yang lain kerana ada sumbangan dari pelbagai pihak yang menyerap perbezaan harga tersebut.

 

 

Syamsul Mustafa
                                  Syamsul Mustafa

 

 

"Contohnya hari ini saya jual ikan Selayang hanya RM12 untuk satu kilogram (kg) tapi kalau di pasar biasa harganya ialah RM14 hingga RM16.

 

"Begitu juga dengan ikan kembung hanya dijual RM22 berbanding RM24 di tempat lain," katanya yang mendapatkan bekalan ikan dari nelayan tempatan sekitar Kuala Terengganu dan Marang.

 

Sementara itu, seorang surirumah, Rohani Ismail, 62, pula berkata, dia memang suka membeli barangan keperluan dapur di program JTDL kerana harganya yang murah dan kepelbagaian pilihan yang ada menjadikannya sebagai pusat jualan sehenti.

 

 

Rohani Ismail
                                   Rohani Ismail

 

 

"Dalam zaman ekonomi mencabar ini, kita boleh manfaatkan apa sahaja program yang disediakan agensi kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan.

 

"Biasanya, FAMA Terengganu akan buat hebahan di mana lokasi JTDL seterusnya akan diadakan, jadi kita boleh atur masa untuk membeli-belah barangan keperluan," katanya. - DagangNews.com