Potensi kewangan Islam masih besar di peringkat global | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 11 October 2022

POTENSI KEWANGAN ISLAM MASIH BESAR DI PERINGKAT GLOBAL

 

 

 


PADA 1 Oktober lalu, penulis dijemput menjadi panel Sidang Kemuncak Cakna Kewangan yang ditaja Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

 

Jadi, penulis kumpulkan beberapa soalan menarik yang dibangkitkan ketika program tersebut dan sama-sama boleh dijadikan pedoman kepada kita semua.

 

Secara dasarnya, sistem kewangan Islam terdiri daripada perbankan, takaful, pasaran modal Islam dan pengurusan harta. 

 

Yang membezakan sistem kewangan Islam daripada sistem kewangan sedia ada ialah sistem kewangan Islam WAJIB menepati kehendak syariah, manakala sistem kewangan yang satu lagi tidak wajib menepati kehendak syariah. 

 

Syariah itu ialah undang-undang Islam yang bersumberkan kepada Al Quran, Sunnah, Ijma’dan Qiyas. Oleh itu, sistem kewangan Islam bersumberkan kepada Al Quran dan Sunnah.

 

Sistem kewangan Islam adalah subset kepada sistem ekonomi Islam. Objektif sistem ekonomi Islam adalah mencapai maqasid syariah yang lima - penjagaan agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. 

 

Ekonomi Islam pula subset kepada muamalat, iaitu aktiviti-aktiviti antara manusia. Muamalat (bersama akidah) adalah subset kepada Islam, agama Allah yang shumul.

 

 

gambar hiasan

 

 

Seterusnya soalan berkaitan dengan perbezaan sistem kewangan Islam dan yang konvensional serta kepentingan dan matlamatnya.

 

Kewangan Islam adalah aktiviti kewangan yang dilaksana menurut kehendah syariah iaitu undang-undang Islam. Kewangan Islam WAJIB mengikut syariah, kewangan konvensional TIDAK wajib mengikut syariah. 

 

Kewangan Islam hendak mengembalikan fitrah sistem kewangan yang adil dan saksama tanpa penindasan seperti riba. Al-Quran, Bible, Taurah dan Baghavad Gheeta juga mengharamkan riba. 

 

Matlamat untuk mengelak kemudaratan kepada umat manusia, menerima manfaat untuk semua - maqasid (objektif) syariah.

 

Pasaran dan potensi kewangan Islam juga disoal. Penulis memberitahu bahawa sesungguhnya 25% populasi manusia di dunia adalah beragama Islam. 

 

Sekarang ini menurut perangkaan yang dipetik dari Global Islamic Finance Forum anjuran AIBIM dan Bank Negara Malaysia (BNM), tidak sampai pun 8% muslim yang tahu atau menggunakan produk kewangan Islam. Bukankah potensi kewangan Islam masih besar?

 

 

gambar hiasan

 

 

Kepada yang ingin tahu mengenai Malaysia yang dikenali sebagai hab kewangan Islam dan apa contoh sumbangannya, penulis menyatakan yang Malaysia mempunyai satu sistem kewangan Islam yang menyeluruh.

 

Perbankan, takaful, pasaran modal Islam dan pengurusan harta secara Islam - lengkap. Sumbangan Malaysia pula ialah sumber bakat dalam ilmu pratikal kewangan Islam. 

 

Ia ada di serata dunia termasuk di IMF, IDB, IRTI, World Bank, IFSB dan AAOIFI. Ini termasuklah sehingga di seluruh negara Timur Tengah, Rusia, Hong Kong, Jepun, Afrika, Eropah, Sri Lanka, Maldives, United Kingdom dan Australia.

 

Mengenai kadar celik kewangan Islam yang masih rendah, penulis menjelaskan di Malaysia 90% penduduk sememangnya tahu wujudnya kewangan Islam. 

 

Tetapi mereka tidak tahu bagaimana sistem kewangan Islam beroperasi mengikut syariah. Kempen-kempen kesedaran yang berterusan perlu diteruskan tanpa henti. 

 

Pendidikan mesti dilaksanakan dengan strategi untuk penyerapan ilmu kewangan Islam dari tadika, sekolah rendah, menengah hingga ke universiti.

 

 

gambar hiasan

 

 

Di samping itu, penulis juga ingin menjawab soalan (dari mesej peribadi) tentang kenapa pinjaman dalam Islam dibenarkan, sedangkan dalam bank konvensional pinjaman itu dikatakan haram.

 

Sesungguhnya pinjaman itu dibenarkan dalam Islam. Pinjaman itu maknanya pinjaman. Pinjaman atau pinjaman terjadi apabila kita beri pinjam, contohnya, RM1,000 kepada si peminjam, dan kemudian si peminjam bayar balik kepada kita RM1,000 pada satu waktu yang telah ditetapkan. Yang tidak bolehnya ialah interest atau riba, iaitu lebihan bayaran daripada jumlah pokok (RM1,000) yang dipinjamkan  kepada si peminjam tersebut. 

 

Dalam bank-bank Islam, kalau pinjam RM1,000, bank akan minta si peminjam bayar balik RM1,000 sahaja. Sebab itu ia dibenarkan. 

 

Bagi bank konvensional, kalau pinjam RM1,000, bank akan minta si peminjam bayar balik RM1,000 beserta dengan interest/riba. Part 'beserta interest' inilah yang amat-amat dilarang syariat. 

 

Kesimpulan pinjaman dalam bank konvensional yang berteraskan interest atau riba itu memang haram. Sebab itu bank-bank Islam tidak beri pinjaman. 

 

Tapi beri pembiayaan guna kontrak jual beli atau perkongsian, contohnya. Kontrak pinjaman, lebihan itu riba. Kontrak jual beli, lebihan itu keuntungan. Kontrak perkongsian, lebihan itu dividen. - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags