PNSB anjur Fiesta PLATS @ KAWAN 2022 pada 3 hingga 4 Disember 2022 di Shah Alam | DagangNews Skip to main content

PNSB anjur Fiesta PLATS @ KAWAN 2022 pada 3 hingga 4 Disember 2022 di Shah Alam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menganjurkan Fiesta PLATS @ KAWAN 2022 buat julung kalinya mulai 3 hingga 4 Disember ini yang akan disertai lebih 100 penjaja, pengusaha trak makanan dan usahawan mikro di bawah program Platform Selangor (PLATS).

 

Acara dua hari secara percuma itu dianjurkan menerusi kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) itu diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam antara pukul 8 pagi hingga 10 malam. 

 

Pelbagai aktiviti diatur untuk pengunjung, antaranya pengalaman menaiki belon udara panas, gerai permainan, aktiviti melukis wajah dan pelbagai acara lain. 

 

Bermula pukul 7 malam hingga 10 malam, pawagam terbuka akan menyiarkan tayangan filem sebagai hiburan kepada pengunjung untuk berkumpul bersama keluarga dan rakan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek berkata, matlamat utama program PLATS adalah membantu golongan peniaga kecil untuk mendigitalkan perniagaan mereka dan meluaskan operasi perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik. 

 

“Matlamat kami adalah untuk meluaskan inisiatif PLATS bagi memenuhi pelbagai keperluan usahawan kecil dan membantu mereka dengan lebih berkesan dan efisien. 

 

"Fiesta PLATS @ KAWAN 2022 adalah satu daripada pelbagai inisiatif yang dirancang untuk golongan ini menjana pendapatan dan pendedahan lebih meluas untuk perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

pnsb

 

 

Menurut Norita, program PLATS terus menjadi tunjang kukuh dalam rancangan kerajaan negeri bagi memperkasakan usahawan mikro dengan set kemahiran bersesuaian yang akan memastikan kelestarian perniagaan kecil.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, PLATS membantu penjaja dan perniagaan kecil setempat meningkatkan pembabitan mereka menerusi kehadiran dalam arena digital dan sosial media ke arah usaha mengembangkan perniagaan masing-masing. 

 

“Kami telah melihat impak positif dalam kalangan 20,000 usahawan mikro yang dibantu menerusi usaha promosi dan peningkatan kemahiran," katanya.

 

Beliau menambah, acara berkenaan akan terus meningkatkan usaha untuk menggalakkan dan mempromosikan pendigitalan perniagaan seumpamanya serta membina kehadiran mereka secara dalam talian dan luar talian. - DagangNews.com