PM rasmi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Pahang pada 29 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

PM rasmi Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Pahang pada 29 Oktober 2022

KUANTAN 28 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang pagi esok, dengan pelbagai pengisian program dan aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung. 

 

AKM yang membuka tirainya hari ini sehingga Ahad bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) dan perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, memasuki siri ke-12 diterajui Kementerian Pertahanan (Mindef) dengan tema 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara'. 

 

Selepas sesi perasmian, Ismail Sabri akan menghadiri program Kenduri Rakyat, yang merupakan sebahagian daripada pengisian AKM, di Tanjung Lumpur, di sini pada tengah hari, lapor Bernama.

 

Antara tarikan utama AKM Pahang ialah pameran aset termasuk kenderaan dan persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), merangkumi semua perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara yang membolehkan pengunjung menerokai pengalaman ketenteraan yang mengujakan dibawakan khas untuk siri AKM di bumi Tok Gajah. 

 

Istimewa untuk veteran ATM, pelbagai perkhidmatan dan manfaat yang ditawarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada siri AKM kali ini, antaranya perkhidmatan cetakan kad veteran, bantuan sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan bencana alam, bantuan baik pulih atau rumah baharu veteran ATM serta bantuan pendaftaran perniagan dalam MyVeteranMall. 

 

Selain itu, AKM yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 9 malam juga diserikan dengan pelbagai sajian istimewa di 10 gerai Citarasa Keluarga Malaysia, pameran usahawan industri kecil dan sederhana serta jualan barangan harian dan keperluan asas yang ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran. 

 

Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh mendapatkan pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50% bagi kesalahan terpilih di kaunter khas di perkarangan Stadium Darul Makmur. 

 

 

AKM

 

 

Pada AKM kali ini juga, sukan rakyat turut menjadi tarikan, dengan penampilan permainan batu seremban, dam ular, congkak, dam aji dan karom, selain tidak meninggalkan e-sukan seperti PUBG Mobile dan Mobile Legends. 

 

AKM Pahang juga merupakan platform kepada pelajar lepasan universiti atau mereka yang mencari kerja kerana lebih 20 majikan mengambil bahagian menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja, selain ATM juga membuat kaunter khas bagi mempromosikan peluang pekerjaan dalam pasukan keselamatan itu. - DagangNews.com