Pharmaniaga lantik MIDF Investment sebagai penasihat utama pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga lantik MIDF Investment sebagai penasihat utama pelan penyusunan semula

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pharmaniaga Bhd telah melantik MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Investment) sebagai penasihat utama untuk cadangan pelan penyelarasannya, menurut maklumannya di Bursa Malaysia semalam.

 

Kumpulan farmaseutikal itu jatuh ke dalam status Nota Amalan 17 (PN17) sebulan yang lalu selepas mencetuskan Perenggan 2.1(a) PN17 dalam penyata kewangan disatukan yang belum diaudit untuk suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berikutan ekuiti pemegang saham negatif.

 

Oleh itu, kumpulan tersebut dikehendaki untuk mengemukakan pelan penyusunan semula kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) atau Bursa Malaysia Securities Bhd dalam tempoh 12 bulan mulai 27 Februari.

 

Ekuiti pemegang saham negatif itu berpunca daripada kemerosotan besar RM552.3 juta bagi vaksin COVID-19 yang mengheret Pharmaniaga kepada kerugian bersih terbesar pada suku tersebut dan setahun penuh.

 

Pada 27 Februari, kumpulan itu mengumumkan kerugian bersih RM664.39 juta untuk 4QFY22 daripada keuntungan bersih RM85.48 juta setahun sebelumnya menyebabkan kerugian sesaham sebanyak 49.19 sen, berbanding pendapatan sesaham sebanyak 6.53 sen sebelumnya.

 

Hal tersebut berlaku walaupun peningkatan 21.22% dalam pendapatan suku itu kepada RM862.72 juta daripada RM711.72 juta sebelumnya, disebabkan oleh ‘pertumbuhan sihat’ di seluruh konsesi kumpulan, bukan konsesi dan perniagaan Indonesia, didorong oleh permintaan yang kukuh disebabkan aktiviti perniagaan kembali normal pasca pandemik COVID-19.

 

Bagi tahun kewangan penuh, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM607.32 juta, berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta dalam tahun kewangan 2021 (FY21), dengan pendapatan merosot 27.09% kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion.

 

Selain daripada kerugian ketara, pinjaman jangka pendek kumpulan tersebut meningkat kepada RM968.27 juta pada 31 Disember 2022 daripada RM570.06 juta setahun lalu, manakala pinjaman jangka panjangnya merosot kepada RM190.63 juta daripada RM285.17 juta.

 

Sementara itu, penghutang kumpulan tersebut meningkat kepada RM351.66 juta pada akhir 2022 daripada RM297.75 juta setahun lalu. 

 

Baki tunai pula adalah RM52.85 juta, manakala inventorinya merosot kepada RM767.26 juta daripada RM1.26 bilion setahun lalu, selepas rosot nilai.

 

Kesan kemerosotan vaksin mencetuskan kebimbangan dalam pasaran pada hari berikutnya pengumuman keputusan suku keempatnya, dengan saham Pharmaniaga mencatatkan kerugian sehari sebanyak 38.64% atau 17 sen untuk ditutup pada 27 sen pada 28 Februari.

 

Pada 9:30 pagi ini, saham Pharmaniaga menyusut 0.5 sen atau 1.7% pada 28.5 sen, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM373.35 juta. -DagangNews.com