Pertama Digital harap kerajaan beri fokus 3 aspek digital dalam Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital harap kerajaan beri fokus 3 aspek digital dalam Bajet 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pertama Digital Berhad mengharapkan kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga aspek berteraskan digital dalam Bajet 2023 sebagai usaha membantu masyarakat supaya tidak ketinggalan dengan dengan teknologi.

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, antara perkara yang ingin dilihat termasuk keterbukaan perbankan dengan kerajaan akan memberi pertimbangan kepada pihak ketiga untuk diberi akses kepada data tertentu melalui pengaturcaraan data aplikasi (API).

 

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan membawa lebih banyak persaingan dalam industri dan menjadikan teknologi kewangan (fintech) lebih mudah diakses.

 

"Pada masa ini, rejim kawal selia untuk API terbuka hanya dikhususkan untuk mengakses data kad dan insurans, seperti yang digunakan oleh pengagregat data. 

 

"Kami berharap kerajaan dapat meningkatkan peruntukan belanjawan dalam mewujudkan rangka kerja yang lebih komprehensif untuk memudahkan penggunaan perbankan terbuka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

pertama
Saify Akhtar

 

Saify berkata, kerjaaan juga diharapkan dapat mempromosikan kesedaran mengenai fintech dan keselamatan kerana pendigitalan serta pembangunan teknologi bergerak pantas, fintech mungkin agak menakutkan bagi mereka yang tidak memahaminya.

 

Beliau juga berharap, kerajaan mempertimbangkan peruntukan besar untuk mendidik rakyat khususnya warga emas mengenai fintech dan perbankan mudah alih keranan berlaku peningkatan dalam skim penipuan baru-baru ini menyebabkan kepercayaan umum terhadap e-perbankan adalah rendah.

 

bajet

 

"Kita wajar membantu meningkatkan kepercayaan mereka terhadap fintech untuk meningkatkan kecekapan perbankan dan mengelakkan kerugian, sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap perkhidmatan cawangan bank dan pengendalian tunai," katanya.

 

Pada masa sama, beliau juga berharap kerajaan dapat menguatkuasakan agar syarikat telekomunikasi untuk membenarkan data percuma atau menyenarai putih aplikasi berdaftar tertentu yang diperlukan untuk perbankan dalam talian dan e-dompet. 

 

"Kami berharap dapat melihat peruntukan belanjawan yang sihat untuk menyokong inisiatif ini untuk menjadikan internet boleh diakses oleh semua pengguna," katanya. - DagangNews.com