Perak terima RM31.49 juta peruntukan MIDA bagi projek INFRA | DagangNews Skip to main content

Perak terima RM31.49 juta peruntukan MIDA bagi projek INFRA

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad (kanan) sebagai simbolik penyerahan pada majlis naik taraf bangunan dan pondok kawalan Kastam di Free Industrial Zone (FIZ) Jelapang, Perak pada 20 Mac 2023.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 20 Mac - Sebanyak RM31.49 juta peruntukan telah diluluskan bagi program menaiktaraf infrastruktur untuk Kawasan Perindustrian Berintegrasi Sedia Ada (projek INFRA) di Perak tahun ini.

 

Ia membabitkan pelaksanaan 45 projek yang dikelolakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Ini termasuk Projek Naik Taraf Bangunan dan Pondok Kawalan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Free Industrial Zone (FIZ) Jelapang di sini.

 

Pada tahun lalu, negeri Perak telah merekodkan 294 projek yang telah diluluskan untuk sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan dengan jumlahpelaburan sebanyak RM6.6 bilion. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka dapat mewujudkan 7,682 peluang pekerjaan baharu. 

 

"Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut, sumber pelaburan langsung tempatan (DDI) mencatatkan RM4.32 bilion atau 65.5%.

 

"Bagi pelaburan langsung asing (FDI) pula sebanyak RM2.28 bilion atau 34.5%," ujarnya.

 

 

mida
Datuk Arham Abdul Rahman menandatangani plak pada majlis penyerahan projek naiktaraf bangunan dan pondok kawalan Kastam di FIZ Jelapang.

 

 

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan projek naik taraf bangunan kastam dan pondok kawalan kastam di Free Industrial Zone (FIZ) Jelapang pagi tadi.

 

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah diberi tanggungjawab melaksanakan projek naiktaraf ini menerusi geran MIDA sebanyak RM540,172.

 

Ia untuk menyediakan kemudahan infrastruktur kepada pihak Kastam selaku agensi pengawal aktiviti pengoperasian industri di kawasan FIZ, Jelapang. 

 

Projek tersebut mengambil masa tiga bulan dan siap sepenuhnya pada 14 November 2022.

 

 

mida
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad (dua, kanan) memberi penerangan tentang bangunan dan pondok kawalan Kastam di FIZ Jelapang.

 

 

Arham turut memaklumkan, kadar pelaksanaan projek di negeri Perak juga telah mencatat peratusan yang positif iaitu 76% atau sebanyak 227 projek yang telah terlaksana.

 

Katanya, MIDA dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Invest Perak dan pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau perkembangan projek pelaburan yang diluluskan.

 

Ini demi memastikan pembangunan ekonomi di negeri Perak bagi kesejahteraan rakyat dan negara. - DagangNews.com