Penyertaan Malaysia dalam CPTPP tingkatkan perniagaan kecil negara - UPS | DagangNews Skip to main content

Penyertaan Malaysia dalam CPTPP tingkatkan perniagaan kecil negara - UPS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Syarikat perkapalan dan logistik, UPS meraikan kemasukan Malaysia ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan rangsangan yang boleh diberikan terutamanya kepada perniagaan kecil negara.

 

Pengarah Urusan UPS Malaysia, Chika Imakita berkata, beliau menzahirkan tahniah kepada Malaysia atas penguatkuasaan CPTPP, penyertaan mana-mana perjanjian perdagangan bebas merupakan masa yang terbaik untuk komuniti perniagaan.

 

Katanya, FTA ialah salah satu pemboleh terbesar perdagangan global yang meningkatkan hubungan perdagangan, membuka pangkalan pelanggan baharu berpotensi dan boleh mengurangkan kos dengan ketara. 

 

"Ini amat bermanfaat kepada perniagaan kecil, yang mana wang dan sumber adalah terhad dan masa untuk mencari peluang pertumbuhan baharu selalunya terhad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


 
Menurut Imakita, CPTPP akan menyaksikan tarif dihapuskan ke atas banyak eksport utama, termasuk dalam sektor automotif, tekstil dan pakaian dan elektronik. 

 

Tambahanya, ia membolehkan perniagaan mendapatkan bahagian atau komponen daripada lebih ramai rakan kongsi tanpa membayar duti ke atasnya, selain mewujudkan tahap perdagangan bebas antara Malaysia dan Kanada, Peru dan Mexico buat kali pertama.


 
"Di UPS, menjadi tugas kami untuk membantu perniagaan dunia mencapai cita-cita pertumbuhan global mereka. 

 

"Sama ada ini menzahirkan peraturan Kastam, mengoptimumkan rantaian bekalan atau membantu pelanggan kami membuka kunci potensi dalam perjanjian perdagangan baharu seperti CPTPP, peluang itu ada dan ini adalah masa yang menarik untuk perniagaan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com