Penyebar fitnah juga tergolong sebagai pelampau oleh Nabi SAW | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 28 October 2022

 

Penyebar fitnah juga tergolong sebagai pelampau oleh Nabi SAW

 

 

 

MENURUT Kamus Dewan, masyarakat di Malaysia menggunakan istilah fitnah sebagai gambaran kepada sesuatu tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda.

 

Makna tersebut selari dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Riwayat al-Bukhari)

 

Perkataan ‘nammam’ dalam hadis tersebut seperti yang dijelaskan oleh ulama ialah memindahkan percakapan manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan.

 

Kini, perbuatan fitnah berlaku dengan berleluasa melalui cara yang lebih mudah kerana perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar secara digital.

 

 

irsyad

 


Fitnah berlaku dalam dua keadaan:

 

1. Seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.

 

2. Seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.

 

Islam sangat tegas dalam melarang perbuatan fitnah dari terus berlaku dalam kalangan masyarakat yang menyebabkan berlaku perbalahan, pergaduhan & keruntuhan institusi sosial.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” (Surah al-Nur: 11-12)

 

Seterusnya, Allah SWT menjelaskan balasan buruk bagi pelaku fitnah dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur:19)

 

Selanjutnya, balasan dahsyat juga diberikan kepada pelaku fitnah seperti yang dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis yang bermaksud: “Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (Riwayat Ibn Hibban)


 

irsyad

 

 

Selain itu, pelaku fitnah juga dianggap sebagai pelampau oleh Nabi SAW dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali” (Riwayat Muslim)

 

Demikianlah amaran dan ancaman yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dan Nabi SAW supaya manusia mengambil perhatian yang serius menghindari dari terlibat dengan perbuatan fitnah yang boleh menghancurkan sesebuah masyarakat. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags