Pentingnya kapal sokongan logistik lengkapi armada TLDM  | DagangNews Skip to main content

Pentingnya kapal sokongan logistik lengkapi armada TLDM 

KD Mahawangsa memulakan pelayaran ke Lebanon dari Pangkalan TLDM Lumut semalam.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Semasa berlaku bencana tsunami di Acheh pada 2004, Malaysia sepatutnya menjadi negara pertama yang tiba menghantar bantuan kemanusiaan dan bekalan ke sana.

 

Malangnya, ia tidak dapat dilakukan kerana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mempunyai kapal sokongan logistik yang lengkap untuk diatur gerak membantu negara jiran.

 

Berbeza dengan kapal kargo awam, kapal sokongan logistik milik TLDM boleh dikerah dalam masa singkat dengan anggota yang benar-benar bersedia untuk berada di lokasi konflik. Tidak seperti pengangkutan udara, kapal ini boleh membawa muatan lebih banyak.

 

Selain membawa bantuan, ciri-ciri pada sebuah kapal sokongan logistik yang bersaiz besar membolehkan ia diperanankan sebagai hospital terapung, kapal induk dan pangkalan hadapan.

 

Kapal logistik atau mengikut istilah TLDM dipanggil sebagai kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS) ini penting dalam menyokong misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

 

Operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW) ini menjadi sebab mengapa kapal sokongan logistik perlu ada pada sesebuah angkatan laut seperti TLDM.

 

Ketika ini TLDM bergantung pada dua buah kapal sokongan pelbagai peranan iaitu KD Mahawangsa dan KD Inderasakti yang digunakan sejak 39 tahun lalu.

 

Dengan berat sekitar 4,300 tan, kapal ini boleh membawa sama ada 500 tentera atau kenderaan dengan ruang kargo seluas 1,000 meter padu dan 680 meter persegi ruang kenderaan. Ia juga mempunyai platform untuk helikopter sederhana.

 

 

gambar hiasan
KRI Banda Acheh merupakan sebuah daripada lima kapal kelas Makassar yang dimiliki Indonesia.

 

 

Terbaru, khidmat KD Mahawangsa diguna bagi menghantar bekalan untuk pasukan pengaman Malaysia ke Lubnan (Malbatt) 850-10.

 

Kapal ini membawa enam buah trak, dua buah trak kecil, sebuah ambulan, peluru dan bahan letupan, peralatan komunikasi yang berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut, semalam.

 

Sebuah lagi kapal yang lebih besar pula iaitu KD Sri Inderapura masih belum berganti setelah musnah dalam insiden kebakaran pada 8 Oktober 2009.

 

Kapal pendarat kelas Newport buatan Amerika Syarikat (AS) ini hanya berkhidmat selama 14 tahun dalam TLDM dengan memainkan peranan cemerlang sebagai kapal logistik terbesar.

 

Keperluan MRSS amat penting terutama dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan sokongan kepada bantuan bencana alam di dalam negara mahupun negara serantau.

 

Disebabkan keperluan yang mendesak, TLDM mengambil langkah alternatif apabila menjadikan dua buah kapal kontena sebagai kapal sokongan logistik.

 

Kapal Auksiliari Bunga Mas Lima (BM 5) dan Bunga Mas Enam (BM 6) adalah hasil kerjasama strategik TLDM dengan syarikat perkapalan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).

 

 

TLDM
Sebahagian daripada kenderaan dan kelengkapan ulang bekal yang dibawa KD Mahawangsa.

 

 

BM 5 dan BM 6 yang bersaiz 132.8 meter panjang dan mempunyai lebar 22.7 meter berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot.

 

Kapal ini turut dilengkapi dengan 'hangar' bagi menempatkan helikopter dan bot tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif apabila diperlukan.

 

Kapal auksiliari masih mempunyai kemampuan yang terhad kerana rekabentuknya bukanlah sebuah kapal untuk operasi ketenteraan sebenar.

 

Dalam program transformasi 15 to 5 TLDM memerlukan tiga buah kapal MRSS untuk menyokong operasinya di laut. 

 

Bagaimanapun, rancangan perolehan ini telah pun dirancang sejak 20 tahun lalu tetapi tertangguh beberapa kali disebabkan faktor bajet.

 

Sepanjang tempoh itu TLDM turut melaksanakan kajian kesesuaian ke atas cadangan yang diterima daripada beberapa negara bagi memenuhi keperluan MRSS.

 

Paling hampir ialah cadangan perolehan MRSS buatan Indonesia menerusi kerjasama antara PT PAL Indonesia dengan pihak Boustead Naval Shipyard (BNS) pada 2016.

 

 

TLDM
Singapura merupakan contoh terbaik sebuah angkatan laut moden apabila memiliki lima buah kapal logistik sesuai dengan keperluannya.

 

 

BNS telah mengemukakan cadangan kepada TLDM untuk membina kapal MRSS berdasarkan rekaan kapal kelas Makassar.

 

Kapal kelas ini dengan berat 12,400 tan dikendalikan 150 kru boleh membawa 35 buah kenderaan infantri, kereta kebal, 350 anggota tentera dan mempunyai kemudahan untuk menampung sehingga 500 penumpang. Ia juga boleh membawa lima buah helikopter saiz sederhana.

 

PT PAL Indonesia membina kapal kelas Makassar berasaskan rekaan firma Korea Selatan iaitu Daesun Shipbuilding & Engineering Co.

 

Tentera Laut Filipina juga memilih kapal kelas ini apabila PT PAL Indonesia memenangi kontrak perolehan dua buah kapal kelas Tarlac pada tahun 2013 yang kini telah pun disiapkan.

 

Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai wilayah dipisahkan oleh Laut China Selatan, maka MRSS adalah aset strategik kepada negara memandangkan keperluannya yang pelbagai.

 

Jumlah ideal bagi TLDM ialah lima buah dengan dua ditempatkan di Sabah Sarawak.

 

Sehubungan itu, pemilikan aset-aset baharu seperti ini mampu melonjakkan kemampuan TLDM melaksanakan operasi dengan lebih efektif selain tidak ketinggalan berbanding angkatan laut serantau. - DagangNews.com