Duopharma tidak terjejas akibat pembatalan kontrak Sputnik V – AmInvest | DagangNews Skip to main content

Duopharma tidak terjejas akibat pembatalan kontrak Sputnik V – AmInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Duopharma Biotech Berhad tidak terjejas oleh pembatalan kontrak pengedaran vaksin Sputnik V dan terus menjadi pengeluar farmaseutikal pilihan AmInvest Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2023 hinga 2025 (FY23-25) memandangkan pengedaran vaksin tersebut tidak diambil kira dalam andaian jualan firma dan syarikat juga tidak membeli sebarang produk dalam inventorinya.

 

“Kami terus menyukai Duopharma, pengeluar farmaseutikal tempatan terbesar di Malaysia disebabkan prospeknya yang cerah disokong oleh peningkatan penggunaan ubat generik di Malaysia, tamat tempoh paten industri global dari 2023 hingga 2026, pasaran perubatan biologi serupa berkembang pesat dan pasaran Vitamin C yang semakin meningkat, memanfaatkan jenama Champs dan Flavettes,” katanya.

 

Saham pada masa ini didagangkan pada PE FY23 yang menarik sebanyak 12.7x, iaitu 25% di bawah purata lima tahun sebanyak 17x di samping hasil dividen lumayan pada 2.3%.

 

“Kami menganggap bahawa Duopharma ialah alternatif yang baik untuk pelabur yang ingin beralih daripada Pharmaniaga, yang baru-baru ini mengalami kerugian akibat penurunan nilai saham yang substantif,” jelasnya.

 

Firma itu mengulangi saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM2.06 sesaham.

 

Sputnik V belum diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (DCA) sejak Jun 2021 iaitu ketika tempoh kumpulan itu memeterai perjanjian pembekalan dengan Russian Direct Investment Fund (RDIF) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Kumpulan itu telah mengumumkan penamatan Perjanjian Bekalan Penjual dengan Russian Direct Investment Fund (RDIF) berkuat kuasa pada 24 Mac 2023 (Jumaat), di mana tiada sebarang penalti kontrak dikenakan, kata firma itu dalam nota hari ini.

 

Sebagai makluman, Duopharma telah menandatangani perjanjian lembaran istilah pada Januari 2021 untuk mendapatkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V dengan RDIF iaitu ejen pemasaran lantikan Institut Penyelidikan Nasional Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya Rusia yang membangunkan vaksin untuk virus COVID-19.

 

Pada hari yang sama, kumpulan itu juga memeterai perjanjian lembaran jangka dengan KKM untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin kepada 3.2 juta rakyat Malaysia selama setahun, di mana kedua-dua perjanjian lembaran jangka kemudiannya akan menjadi perjanjian pembekalan muktamad.

 

Pada Jun 2021, Duopharma memeterai perjanjian pembekalan penjual dengan RDIF dan perjanjian pembekalan kerajaan dengan KKM.

 

Vaksin Sputnik V perlu diluluskan oleh DCA Malaysia pada 23 November 2021 agar kedua-dua perjanjian boleh dikuatkuasakan sepenuhnya dan pada akhir November 2021, perjanjian pembekalan kerajaan akan terbatal dan tidak sah kerana pelepasan DCA tidak diperoleh pada tarikh yang dinyatakan.

 

Bagaimanapun, perjanjian pembekalan penjual belum ditamatkan secara rasmi memandangkan kedua-dua pihak tidak menerima notis bertulis sehingga Jumaat lalu. -DagangNews.com