Pencalonan Anugerah Stevie Asia-Pasifik 2023 kini dibuka untuk syarikat Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pencalonan Anugerah Stevie Asia-Pasifik 2023 kini dibuka untuk syarikat Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Syarikat-syarikat Malaysia dijemput untuk mencalonkan diri untuk Anugerah Stevie Asia-Pasifik 2023 yang kini dibuka untuk pendaftaran dan penyertaan.

 

Program anugerah yang telah memasuki tahun ke-10 ini, mengiktiraf syarikat-syarikat yang inovatif dan progresif yang merangkumi pelbagai bidang di tempat kerja, dari urusan pentadbiran hingga ke aspek media sosial dan komunikasi.

 

Pada kali ini, sebuah kategori baharu telah diperkenalkan iatu Anugerah Kepimpinan Pemikiran untuk mengiktiraf inovasi dalam strategi kepimpinan pemikiran, pembangunan dan pelaksanaan yang telah dilaksanakan sejak Julai 2020 dalam bidang pembangunan strategik.

 

Pada edisi Anugerah Stevie 2023, komponen pengundian dari orang awam akan dikenalkan, pemenang bagi kategori Syarikat/Organisasi akan ditentukan dari campuran unik penilaian juri profesional dari rantau Asia Pasifik dan undian orang awam.

 

Anugerah berprestij global, Stevie Awards mendapat namanya daripada perkataan Stephen yang berasal daripada bahasa Greek yang bermaksud "dimahkotakan." 

 

Antara organisasi yang inovatif di rantau Asia Pasifik yang telah memperolehi anugerah pengiktirafan ini ialah ABS-CBN Corporation, Cisco Systems, DHL Asia Pacific Shared Services, EventsAIR, Freelancer.com, Fuji Television Network, Inc., Google, Globe Telecom, Hana Financial Group dan sebagainya.

 

Wakil eksklusif baru Malaysia bagi Anugerah Stevie, Brand Soul Malaysia telah dilantik untuk mendorong dan memberi pendedahan kepada syarikat tempatan mengenai anugerah ini. 

 

 

stevie

 

 

Brand Soul akan bekerjasama dengan pasukan Stevie Awards dalam mengiktiraf syarikat Malaysia yang berinovasi dan mempunyai pencapaian yang luar biasa. 

 

Pendaftaran untuk anugerah ini terbuka untuk semua organisasi di 29 buah negara di rantau Asia Pasifik – besar atau kecil, untung (for profit) atau bukan untung (non-profit), awam mahupun swasta.

 

Penyertaan awal iaitu pada 22 November 2022 akan menerima diskaun untuk yuran penyertaan. Tarikh akhir penyertaan adalah pada 17 Januari 2023. Walaubagaimanapun, penyertaan lewat akan tetap diterima sehingga 15 Februari 2023 tetapi dengan kadar harga yuran lewat pembayaran. 

 

Maklumat lengkap penyertaan boleh didapati di http://Asia.StevieAwards.com. Pemenang akan diumumkan pada 29 Mac 2023 dan jamuan anugerah dijadualkan pada 27 Mei 2023 di Hanoi, Vietnam.

 

Butiran penuh penyertaan serta terma dan syarat kemasukan boleh didapati di https://www.asia.stevieawards.com. - DagangNews.com