Pemegang saham SCIB lantik semula Nexia SSY sebagai juruaudit | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham SCIB lantik semula Nexia SSY sebagai juruaudit

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pemegang saham Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-46 hari ini mengundi untuk melantik semula Nexia SSY Plt sebagai juruaudit dan memberi kuasa kepada para pengarah untuk menetapkan imbuhannya.

 

Mesyuarat itu juga meluluskan resolusi yang membenarkan penerbitan dan peruntukan saham menurut Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 di samping mengetepikan hak pendahuluan mereka.

 

Resolusi untuk melantik semula Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah dan Datu Haji Abdul Hadi Abdul Kadir sebagai ahli lembaga pengarah tidak dibentangkan memandangkan kedua-dua bersara berkuat kuasa 8 Disember 2022.

 

Selain itu, resolusi lain yang diluluskan termasuk pelantikan semula pengarah yang layak untuk pemilihan semula.

 

 

Rosland Othman
Rosland Othman

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, kumpulan akan terus memberi fokus dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan industri pembinaan pada 2023.

 

Katanya, antara langkah-langkah yang diambil termasuklah melaksanakan 'kitchen sinking exercise' berkaitan pembatalan empat projek baru-baru ini serta perjanjian penyelesaian enam projek di Qatar dan Oman.  

 

"Langkah-langkah ini telah diambil demi menjaga kepentingan syarikat. Berkenaan pembatalan lima projek, keputusan telah diambil selepas menyemak dan mengemas kini rekod nilai kontrak syarikat untuk menggambarkan keadaan semasa.

 

"Bagi projek di Qatar dan Oman, tiada kesan kewangan kepada penghutang perdagangan," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengenai prospek kumpulan, Rosland berkata, kumpulan menjangkakan kejayaan tender Sarawak Economic Development Corp. bagi kontrak Sistem Pakej Dua bernilai RM448 juta untuk projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching fasa satu akan memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

 

"Bahkan, pengumuman projek MRT3 bernilai RM50 bilion akan merangsang permintaan untuk perkhidmatan kejuruteraan awam dan bahan binaan serta memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada sektor pembinaan negara," katanya. 

 

Sehingga 30 November 2022, SCIB mempunyai nilai kontrak sebanyak RM564.7 juta dengan keterlihatan pendapatan sehingga 2026. - DagangNews.com