Pembangunan getah asli mampan tidak boleh terhad kepada isu alam sekitar, cabaran pekebun kecil perlu diambil kira | DagangNews Skip to main content

Pembangunan getah asli mampan tidak boleh terhad kepada isu alam sekitar, cabaran pekebun kecil perlu diambil kira

KUALA LUMPUR 21 Mac - Pembangunan getah asli yang mampan perlu merangkumi soal ekonomi serta kesejahteraan pekebun kecil getah dan tidak terhad kepada isu alam sekitar atau penebangan hutan sahaja.

 

Majlis Perniagaan Getah Asean (ARBC) berkata, keadaan pasaran getah asli global semasa terutama harga yang tidak memberangsangkan serta kos pengeluaran yang lebih tinggi telah menjejaskan kemampanan dan kesejahteraan pekebun kecil getah.

 

Menurutnya, walaupun mengakui keperluan dan kepentingan kelestarian getah asli dalam industri, ahli-ahlinya amat prihatin terhadap isu-isu kemampanan yang telah memberi kesan kepada kehidupan pekebun kecil. 

 

"Oleh itu, ahli ARBC menekankan perlunya industri getah asli yang mampan yang sewajarnya mampu memberi manfaat kepada pengeluar dan pengguna," katanya dalam satu kenyataan. 

 

ARBC dalam mesyuarat di Singapura,  baru-baru ini menyatakan kebimbangan terhadap inisiatif kemampanan yang ditetapkan oleh pengguna getah asli.

 

Ahli ARBC, yang terdiri daripada persatuan perdagangan getah adalah Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, Vietnam, Kemboja, dan Myanmar, menyumbang kira-kira 71 peratus daripada jumlah pengeluaran getah asli dunia.

 

Sementara itu, Majlis serantau itu berkata, kebimbangan utama ialah harga harga getah asli yang agak rendah ditambah dengan kos pengeluaran yang lebih tinggi boleh menjejaskan rantaian bekalan getah di pasaran global.

 

Tambah ARBC, ia boleh berlaku sekiranya pekebun kecil memutuskan untuk beralih kepada tanaman atau aktiviti lain yang lebih menguntungkan.

 

"Oleh itu, penetapan harga getah asli yang mampan adalah sangat penting serta perlu segera ditangani terhadap kenaikan kos pengeluaran dan kos sara hidup yang telah menyebabkan petani getah dalam kesukaran. 

 

"Harga getah asli perlu cukup menarik bagi memastikan pekebun kecil terus kekal dalam industri ini supaya mereka terus membekalkan bahan mentah yang diperlukan bagi memenuhi keperluan serta permintaan pengguna dan pengguna akhir," katanya. - DagangNews.com