Perlindungan sosial semakin terancam, wajibkan secara mandatori pendaftaran KWSP dan PERKESO | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 10 April 2023

Perlindungan Sosial Semakin Terancam, Wajibkan Secara Mandatori Pendaftaran KWSP dan PERKESO

 

 

 

ISU pelindungan sosial terus menjadi perbincangan utama. Pelindungan sosial  terutamanya golongan yang menjalani kehidupan selepas persaraan semakin terancam.

 

Pada akhir tahun 2022 yang lalu, 6.7 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau 52% daripada kumpulan umur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan yang “terancam” iaitu di bawah RM10,000.

 

Bayangkan dengan hanya mempunyai simpanan KWSP di  bawah RM10,000, bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan mereka selepas persaraan?

 

Jika dahulu, kita tahu pesara yang mempunyai KWSP mampu menyelesaikan hutang rumah, kereta dan lain-lain serta mampu meneruskan kehidupan sehingga akhir hayat, namun tidak lagi kini.

 

Senario kini berbeza,  kita lihat masih ramai warga emas masih bekerja atau berniaga kecil-kecilan demi sesuap nasi. Seharusnya umur sebegini, mereka perlu berehat menjalani kehidupan yang lebih baik dan bukannya masih “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

tnb

Peranan KWSP dan PERKESO

Seperti yang kita sedia maklum, KWSP dan PERKESO menjadi pelindung kepada rakyat untuk menghadapi kehidupan selepas persaraan.

 

Namun, adakah kehidupan rakyat yang terancam selepas persaraan ini menjadi tanggungjawab KWSP dan PERKESO? KWSP dan PERKESO mempunyai peranan tersendiri.

 

KWSP adalah caruman wajib di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 1991 yang mana sumbangan majikan ialah:

  1. Gaji bulanan RM5,000 ke bawah – Minimum sebanyak 13% daripada gaji bulanan pekerja
  2. Gaji bulanan melebihi RM5,000 – Minimum sebanyak 12% daripada gaji bulanan pekerja

Sumbangan pekerja pula ialah minimum sebanyak 11% daripada gaji bulanan pekerja.

 

Bagi Pertumbuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mentadbir dua skim keselamatan sosial bagi pekerja yang mendapat gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan (Pindaan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2016).

 

Sekaligus, pekerja mendapat perlindungan tanpa mengira gaji yang mereka peroleh. Bagaimanapun, sumbangan maksimum adalah berdasarkan gaji sebanyak RM4,000 sebulan (Pindaan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2016).

 

Terdapat dua skim yang ditadbir oleh Akta PERKESO, termasuk:

  1. Skim Bencana Pekerjaan yang memberi perlindungan insuran sosial ke atas kemalangan di tempat kerja, penyakit berkaitan khidmat pekerjaan dan urusan pergi balik ke tempat kerja.
  2. Skim Pencen Ilat yang memberi perlindungan 24 jam ke atas keilatan yang berpunca atau terbit dari sebarang dan tidak semestinya tertakluk kepada persekitaran kerja.

 

Pendaftaran mandatori bagi 18 tahun ke atas

Kini, Malaysia perlu memikirkan cara yang terbaik bagi melindungi rakyat selepas persaraan mereka.


 

 Datuk Prof Emeritus Dr Norma Mansor
         Datuk Prof Emeritus Dr Norma Mansor

 


Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan (SWRC) Universiti Malaya, Datuk Prof Emeritus Dr Norma Mansor pada webinar bertajuk 'Social Protection Policies for an Ageing Society' mencadangkan agar pendaftaran mandatori atau automatik dengan KWSP dan PERKESO bagi rakyat yang mencapai umur 18 tahun.

 

Adalah ini cadangan yang baik dan jika ia dilaksanakan akan mengurang ancaman kepada pelindungan sosial bagi rakyat selepas persaraan mereka?

 

Timbang tara pendaftaran awal

Secara asasnya, untuk melakukan pendaftaran awal bagi KWSP dan PERKESO dilihat tidak mempunyai masalah dari segi prosedur atau proses. Umur 18 tahun ini sudah dianggap matang dalam apa jua urusan dan tindakan.

 

Jika pendaftaran dibenarkan seawal 18 tahun, rakyat atau pekerja boleh mula menyumbang ke akaun KWSP pada kadar yang lebih awal. Lebih banyak masa membolehkan lebih banyak dana dapat disumbangkan dan dana ini juga boleh bekembang dengan baik dan mempunyai nilai yang baik pada masa akan datang.

 

Selain itu, dengan pendaftaran awal ini akan memberi pendedahan yang lebih awal kepada rakyat tantang pentingnya mempunyai wang persaraan yang mencukupi.

 

KWSP juga boleh memberi khidmat nasihat dan bantuan awal  termasuk pelan penyimpanan dana persaraan, cara penyimpanan, pelaburan dan yang berkaitan kepada rakyat dengan lebih awal.

 

Kerajaan perlu campur tangan dalam pasaran pekerjaan

Selain pendaftaran secara mandatori bagi KWSP dan PERKESO yang boleh membantu mengurangkan masalah pelindungan sosial bagi rakyat selepas persaraan, dalam situasi semasa kerajaan perlu campur tangan dalam pasaran pekerjaan untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga tua ini.

 

Jika dilihat hari ini, golongan ini terpaksa membuat kerja-kerja rencam yang di luar kudrat dan kemampuan mereka. Ramai rakyat yang melepasi usia emas bekerja sebagai tukang cuci, pengawal keselamatan, pembantu stesen minyak, pencuci di kedai makan dan lain-lain. Dari mata kasar, kudrat mereka memang tidak berupaya, namun demi kelangsung hidup mereka hadapi jua.


 

ninot aziz

 


Jika pasaran pekerjaan memberi ruang kepada golongan pesara ini mencari sesuap nasi, bebanan mereka pasti dapat dikurangkan. Kerajaan perlu segera memikirkan model terbaik dalam pasaran kerja ini!

 

Adakah perlu naikkan umur persaraan wajib?

Bagi memastikan wang selepas persaraan mencukupi, adakah tempoh wajib bersara juga perlu dinaikkan? Di Malaysia, umur persaraan wajib ialah 60 tahun pada masa kini.

 

Tetapi melihat keperluan semasa, penilaian umur bersara wajib ini boleh kaji semula. Jika kita melihat contoh negara Singapura, umur persaraan di Singapura iaitu 63 tahun pada masa ini akan dinaikkan kepada 65 tahun menjelang 2030 dan bekerja semula daripada 68 tahun kepada 70 tahun.

 

Secara logiknya, memanglah amat sesuai rakyat bersara pada 60 tahun dan tidak perlu bekerja, tetapi memandangkan wang persaraan mereka tidak mencukupi dan mereka terpaksa bekerja rencam selepas bersara, umur persaraan wajib ini boleh dikaji semula.

 

Kerajaan boleh memberi pilihan kepada rakyat dalam penetapan umur bersara wajib ini. Bagi yang merasakan wang persaraan mereka mencukupi , bolehlah bersara, jika belum boleh dah teruskan bekerja selagi kesihatan mereka mengizinkan.

 

Sediakan pelan risiko dan jaringan pelindungan yang baik

Kerajaan seharusnya merancang strategi menyediakan pelan risiko dan pelindungan yang  baik bagi rakyat bagi menghadapi kehidupan selepas bersara kelak.


 

volatiliti

 


Sama ada wajibkan pendaftaran awal KWSP dan PERKESO, tingkatkan had umur bersara atau menyediakan pasaran kerja yang lebih baik kepada pesara, semua ini diteliti dengan baik untuk dilaksanakan.

 

Apa yang penting, keputusan yang dibuat oleh kerajaan perlu mengambil kira faktor kemampuan dan kesediaan pekerja atau rakyat yang boleh memberi manfaat  jangka masa panjang kepada mereka demi meneruskan kehidupan selepas bersara kelak. – DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags