Pelancongan domestik dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia tahun ini - Airbnb | DagangNews Skip to main content

Pelancongan domestik dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia tahun ini - Airbnb

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Airbnb menjangkakan pelancongan domestik akan menjadi keutamaan rakyat Malaysia tahun ini didorong oleh keterujaan rakyat negara ini menerokai kampung halaman sendiri.

 

Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, dengan perkembangan itu, Airbnb berada di kedudukan kukuh untuk mengalu-alukan pelancong dengan pelbagai penginapan unik pada semua lingkungan harga. 

 

Menurutnya, peningkatan minat pengunjung antarabangsa untuk mengalami keindahan landskap Malaysia dan kekayaan warisan budayanya turut menunjukkan satu fenomena yang amat menggalakkan. 

 

“Dengan 2025 ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia, kami teruja melihat pemulihan sektor pelancongan di seluruh negara serta manfaat yang dibawanya kepada komuniti tempatan. 

 

“Ini turut bermakna lebih banyak pendapatan daripada pelancongan akan mengalir ke dalam komuniti Malaysia, sekali gus menyokong perniagaan dan pekerjaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

airbnb
Amanpreet Bajaj

 

Sehubungan itu, beliau berkata, Airbnb komited komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam industri untuk menyokong dan merancakkan pemulihan pelancongan.

 

Sementara itu, menurut Airbnb, seiring peningkatan minat dalam pelancongan domestik, pelancongan secara berkumpulan bersama orang tersayang turut meningkat di Malaysia.

 

Tambahnya, pelancongan secara berkumpulan di Airbnb melonjak 180% tahun ke tahun pada tahun 2022. 

 

“Pelancongan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal datang turut mencerminkan corak sama apabila ramai keluarga mula merancang perjalanan mereka. 

 

“Data Airbnb turut mendedahkan lima bandar teratas yang paling dicari bagi Aidilfitri ini adalah Kota Kinabalu, Sabah; Johor Bahru, Johor; Georgetown, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak dan Alor Setar, Kedah.

 

Menurut Airbnb, pihaknya juga telah mencatatkan pertumbuhan hampir 600% dalam carian untuk daftar masuk di Malaysia bagi tempoh dalam bulan Ramadan.

 

Dalam perkembangan lain, data Airbnb turut mendedahkan peningkatan momentum dalam pelancongan solo di Malaysia apabila tempahan sebegitu meningkat dua kali ganda tahun ke tahun pada 2022.

 

“Pada skala makro, pengembara solo menyumbang kepada hampir satu per empat daripada keseluruhan malam yang ditempah di seluruh global pada tahun lepas,” katanya. 

 

Menyedari trend ini, Airbnb baru-baru ini telah melancarkan ciri Keselamatan Pengembara Solo

 

Ciri perkhidmatan tersebut yang tersedia dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina, disediakan untuk membantu dan memudahkan pelancong solo untuk melancong secara selamat di Malaysia. - DagangNews.com