Pasca PRU15: Parlimen Tergantung, semoga muktamad hari ini | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 23 November 2022

Pasca PRU15: Parlimen Tergantung, semoga muktamad hari ini

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

SUDAH terjawab segalanya! Tiada gabungan parti politik yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara majoriti.

 

Keputusan PRU15 kali ini menyaksikan kejutan apabila Perikatan Nasional (PN) memperoleh 73 kerusi dan hampir mengaut bersih semua kerusi dewan Rakyat di enam negeri.

 

Pakatan Harapan pula memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

 

Ini adalah pertama kali keputusan PRU tidak mempunyai konklusi menyebabkan Parlimen tergantung buat pertama kalinya di Malaysia. Tidak ada gabungan yang memenangi secara majoriti, yang mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, bermakna satu lagi kerajaan campuran akan dibentuk. Sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi Parlimen diperlukan untuk majoriti mudah dalam membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

 

Adakah kita bakal melihat drama pasca PRU14 berulang?

Mungkin tidak! Ini kerana bagi mengelakkan ketidakstabilan politik yang dilihat sejak beberapa tahun lalu berulang, tiada lagi katak atau mereka kini dihalang daripada bertukar parti sebaik sahaja mereka diundi menang oleh rakyat.

 

Rakyat Malaysia digembar-gemburkan kestabilan politik daripada PRU15 ini. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya! Pilihan raya kali ini lebih menimbulkan lebih banyak kekacauan daripada apa yang dijanjikan.

 

Dua gabungan parti politik utama kini berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan daripada gabungan serta parti politik lain dalam usaha untuk membentuk kerajaan persekutuan.

 

Ini merujuk kepada PN yang diketuai oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PH yang diketuai oleh ketua pembangkang veteran iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 


 

parafrasa

 


 

Yang menjadi tumpuan pasca PRU15 ini adalah BN. BN mencatat kekalahan yang boleh disifatkan sebagai kekalahan ngeri dan mencatat prestasi pilihan raya terburuk dengan hanya memenangi 30 kerusi.

 

BN memainkan peranan penting dalam menentukan siapa yang membentuk kerajaan persekutuan kerana sokongannya diperlukan untuk PN dan PH.

 

Jika PH berjaya menjalinkan pakatan dan duduk bersama BN, ia akan menjadi satu lagi perubahan yang menakjubkan dalam politik Malaysia kerana umum mengetahui bahawa PH sudah sekian lama cuba menggulingkan BN.

 

Gabungan PH-BN dalam membentuk kerajaan amat tidak mungkin terjadi! Ini kerana mereka adalah musuh ketat dan tidak mempunyai titik persamaan iaitu ideologi yang berlainan.

 

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Bendahari Agung BN yang memenangi kerusi Parlimen Sembrong dalam satu hantaran di Facebook, beliau menentang cadangan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. Beliau juga lebih rela dipecat daripada parti itu daripada mengubah pendiriannya.

 

Sama seperti Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang paling lantang dan membantah jika PH bergabung dengan BN andai PH gagal memperoleh majoriti mudah pada PRU15. Beliau juga akan menjadi orang pertama yang akan menentang perjanjian sedemikian.

 


 

irsyad

 


 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa BN tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan persekutuan baik PN mahupun PH.  Keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan persekutuan ini dicapai melalui keputusan sebulat suara  Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

 

Rakyat mula bersuara dan mengeluh! Penat pulang mengundi mengharung kesesakan trafik untuk menunaikan tanggungjawab belum hilang! Mandat sudah dipulangkan kepada ahli politik yang terpilih.

 

Patut sedar

Sepatutnya, pasca PRU15, sepatutnya kesemua ahli politik yang bertanding tidak kira mewakili gabungan parti politik mana sekalipun, mereka patut SEDAR bahawa kestabilan dan kemakmuran datang daripada menghormati agama, budaya dan nilai masing-masing.

 

Dengan wujudnya keharmonian yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa ini, ia secara langsung meningkatkan keamanan dan menstabilkan keadaan politik di negara ini.

 

Bila kestabilan politik dapat dicapai, sudah pasti ia akan memberi kesan besar terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat!

 


 

Eksponen

 


 

Sekarang jika tiada keputusan masih belum dapat dicapai pasca PRU15 ini, ahli politik hanya berebut kuasa. Bagaimana kita boleh membentuk perpaduan diantara bangsa dan kaum untuk mencapai kestabilan politik dan ekonomi?

 

Jika terus-menerus bermain isu perkauman. Ingatlah semua ahli politik! Anda bakal tidak mempunyai tempat di hati rakyat!

 

Malaysia moden perlukan keharmonian sosial lebih dari segalanya! Keharmonian sosial sahaja yang boleh menggalakkan kestabilan politik dan ekonomi.

 

Buka mata! Jadikan PRU15 sebagai satu langkah ke hadapan untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk semua rakyatnya. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Eksponen

 

Portfolio Tags