Pasca COVID-19 perlu tingkatkan penjagaan kesihatan mental rakyat | DagangNews Skip to main content

Pasca COVID-19 perlu tingkatkan penjagaan kesihatan mental rakyat

oleh SYAHRINA HAYATI MD JANI dan KHALIJAH MOHD NOR

PANDEMIK COVID-19 telah memudaratkan kesihatan awam di peringkat domestik dan antarabangsa.  Lebih daripada 6.5 juta orang di seluruh dunia telah meninggal dunia akibat wabak ini dengan kira-kira 630 juta kes kumulatif.  

 

Di Amerika Syarikat, lebih daripada 1 juta orang meninggal dunia, dengan hampir 100 juta kes. Malaysia juga mencatatkan jumlah kematian yang tinggi akibat jangkitan COVID-19 berbanding negara-negara lain.  

 

Wabak ini juga dikaitkan dengan peningkatan dalam pelbagai masalah kesihatan lain.  Sebagai contoh, terdapat peningkatan risiko penyakit kardiovaskular selepas jangkitan COVID-19 yang ringan.  

 

Tambahan pula, penyakit jantung meningkat semasa awal kemunculan COVID-19 berbanding penurunan kadar penyakit ini pada 5 tahun sebelumnya.  

 

Ini berikutan kesan langsung daripada COVID-19 dan kesan tidak langsung daripada kurangnya perhatian kepada kesihatan dan pendedahan yang lebih meluas berkenaan pengurusan tekanan sewaktu wabak.


 

parafrasa

 


Kematian disebabkan oleh COVID-19 dan kematian disebabkan oleh penyakit-penyakit lain semasa wabak telah mengakibatkan penurunan jangka hayat di Malaysia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  

 

Ini menjadikan pencapaian kesihatan negara terjejas dan sejauh mana kesihatan negara boleh pulih selepas COVID-19 adalah bergantung kepada pemulihan daripada keadaan semasa pandemik.

 

COVID-19 merupakan peristiwa traumatik yang menyebabkan tekanan psikologi dan kemudaratan fizikal sebagai punca kesihatan mental yang rendah.  

 

Kajian yang dijalankan sewaktu awal kemunculan wabak ini di Wuhan, China, menunjukkan peningkatan kemurungan dalam kalangan penduduk di kawasan tersebut.  Oleh itu, tidak menghairankan bahawa terdapat banyak bukti bahawa gangguan kesihatan mental meningkat semasa wabak.  

 

Gangguan dan tahap kesihatan mental yang rendah itu sendiri dikaitkan dengan morbiditi yang akan terus menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan penduduk secara keseluruhan.  

 

Memandangkan terdapat peningkatan dalam gangguan kesihatan mental maka beberapa pertimbangan perlu diambil kira untuk memastikan kesihatan secara keseluruhan apabila dunia melepasi wabak COVID-19.

 

Ini amatlah penting dalam mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang ketiga, iaitu memastikan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua tanpa mengira peringkat usia.  


 

parafrasa

 


Kesihatan mental yang rendah dikaitkan dengan kesan daripada COVID-19 yang berkemungkinan berlarutan dan menjejaskan kesihatan penduduk.  Ini kerana penyakit mental yang tidak dirawat akan menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kardiovaskular.  

 

Selain itu, individu yang mempunyai penyakit dengan kadar morbiditi dan kematian yang tinggi seperti barah dan serangan strok akan mengalami keadaan yang lebih sukar dan mencabar apabila mereka mempunyai tahap kesihatan mental rendah.  Kesan daripada peningkatan gangguan kesihatan mental ini boleh dirasai sepanjang hayat. 

 

Sebagai contoh, tahap kesihatan mental yang rendah dalam kalangan ibu bapa akan menjejaskan kesihatan kanak-kanak sepanjang jangka hayat mereka.  Ini menunjukkan kesan buruk daripada gangguan kesihatan mental dalam kehidupan yang boleh berlanjutan selama beberapa dekad selepas wabak ini.

 

Di Amerika Syarikat, gangguan emosi dan kebimbangan meningkat hingga tiga kali ganda semasa wabak dan kekal tinggi dalam tempoh dua tahun pertama sejak wabak bermula.  

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan peningkatan global sebanyak 25% dalam kemurungan dan kebimbangan.  Ini menjadikan jumlah keseluruhan lebih daripada 50 juta kes kemurungan dan lebih daripada 75 juta kes kebimbangan direkodkan di seluruh dunia. 

 

Selain itu, kajian yang dijalankan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada tahun 2020 mendapati setiap tiga dari 10 orang dewasa di Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas mengalami beberapa jenis masalah kesihatan mental.  

 

Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya pada tahun 2020 meramalkan peningkatan masalah kegelisahan, gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), gangguan obsesif-kompulsif (OCD), dan kesan-kesan sosial yang lain disebabkan oleh penjarakan sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 


 

parafrasa

 


Melalui sebuah kajian yang dijalankan, penyelidik mendapati wanita bekerja mengalami masalah kesihatan mental seperti tekanan dan kemurungan yang disebabkan oleh bebanan kerja berlebihan yang melebihi kemampuan individu. 

 

Ramalan ini amat membimbangkan kerana individu yang mengalami kemurungan atau kebimbangan meninggal dunia hampir lapan tahun lebih awal daripada orang lain.  

 

Justeru, individu ini perlu mendapatkan bantuan khidmat profesional malah tidak perlu risau mengenai kos rawatan kerana ianya adalah berpatutan melalui perkhidmatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Peningkatan dalam gangguan kesihatan mental akibat daripada wabak COVID-19 harus diberikan perhatian untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang terbaik dan mampu diakses oleh semua peringkat usia dan golongan.  

 

Langkah pencegahan awal perlu diambil seperti memperbanyak kempen-kempen kesihatan mental, amalan gaya hidup sihat dan khidmat perundingan kesihatan mental melalui media massa dan media sosial.

 

Selain itu, mempromosi dan menguar-uarkan melalui media massa dan media sosial secara aktif mengenai saluran-saluran yang boleh dirujuk sekiranya memerlukan bantuan dalam berhadapan masalah mental seperti Malaysian Mental Health Association (MMHA), Befrienders, dan Mental Illness Awareness and Support Association (MIASA)

 

Namun begitu, masyarakat memainkan peranan penting agar tidak mempunyai stigma negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental. 


 

parafrasa

 


Sokongan yang berterusan daripada keluarga juga perlu dalam memberikan sokongan kepada ahli keluarga yang mengalami masalah mental agar mereka tidak terdedah kepada risiko yang lebih berbahaya. 

 

Tidak dilupakan, pendekatan terapi psikospiritual melalui kaedah solat, zikir, doa, amalan kedermawanan dan rasa reda perlu sebagai suatu alternatif yang boleh dipraktikkan dalam mengatasi masalah kesihatan mental. - DagangNews.com

 

Syahrina Hayati Md Jani dan Khalijah Mohd Nor adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah