Pasaran buruh yang stabil rangsang sektor pengguna untuk maju ke hadapan | DagangNews Skip to main content

Pasaran buruh yang stabil rangsang sektor pengguna untuk maju ke hadapan

KUALA LUMPUR 21 Mac - Faktor yang merangsang sektor pengguna untuk maju ke hadapan di antaranya adalah pasaran buruh yang stabil yang menyokong pengggunaan domestik, kata MIDF Research.

 

Firma itu berkata, sektor itu juga akan disokong oleh ketibaan pelancong yang tinggi yang menyokong jualan runcit dan penggunaan luar rumah serta margin yang lebih baik untuk pengeluar makanan dan minuman (F&B) 

 

Tambahnya, ia turut dibantu oleh harga komoditi yang lebih rendah dan ringgit yang mengukuh. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pendirian "positif" terhadap sektor pengguna dengan memilih syarikat berkaitan ruji pengguna sebagai pilihan utama untuk sektor ini disebabkan permintaan yang berdaya tahan untuk barangan penting walaupun menghadapi pelbagai masalah.

 

“Kami pilih QL Resources, disokong oleh permintaan yang stabil untuk produk marin dan ternakan, kami juga memilih F&N kerana syarikat itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam permintaan untuk minuman sedia diminum dan didorong oleh peningkatan pelancong,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, MIDF yakin dengan perbelanjaan pengguna domestik dalam jangka pendek didorong kadar dasar semalaman (OPR) kekal di bawah julat 3.00-3.25% (paras prapandemik), bersama-sama dengan tekanan inflasi yang menyederhana dan pasaran buruh yang stabil.

 

Menurut firma itu, mereka menjangkakan jualan runcit kekal kukuh pada 2023 dengan pelbagai bantuan tunai, insentif dan pengurangan cukai pendapatan yang ditawarkan dalam Belanjawan 2023 untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40 bagi meningkatkan pendapatan isi rumah dan merangsang perbelanjaan domestik.

 

“Ketibaan pelancong yang lebih tinggi dengan pembukaan semula sempadan di kebanyakan negara, terutamanya dari China juga akan meningkatkan lagi jualan runcit Malaysia,” tambahnya. - DagangNews.com