Pakar produk automotif dilantik sebagai pemangku CEO EPMB | DagangNews Skip to main content

Pakar produk automotif dilantik sebagai pemangku CEO EPMB

Lim Sim Yee
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang tersenarai di Pasaran Utama telah melantik pakar produk automotif, Lim Sim Yee sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulannya, berkuat kuasa hari ini.

 

Lim, yang sebelum ini terlibat dalam usaha mengembangkan kehadiran pasaran Mercedes-Benz di China, akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan EPMB merentas keseluruhan perniagaannya. 

 

Kepakaran beliau dalam pembangunan perniagaan dan strategi produk juga akan memainkan peranan penting ketika EPMB mengejar cita-cita menjadi pengeluar kenderaan elektrik (EV) dan kredit karbonnya.

 

Lim yang berusia 46 tahun sebelum ini telah berkhidmat selama lebih sedekad di Beijing Mercedes-Benz Sales Services Co. Ltd (BMBS) di bawah peranan yang berbeza. BMBS ialah usaha sama antara Daimler AG dan BAIC Motor.

 

Jawatan terakhir beliau dalam BMBS ialah sebagai Pengarah Strategi Produk. Di bawah peranan itu, beliau bertanggungjawab untuk menilai pembangunan pasaran automotif premium China dan mentakrifkan portfolio produk dan tawaran Mercedes-Benz untuk China, antara lain.

 

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, lembaga pengarah amat yakin bahawa Lim akan menjadi calon yang paling sesuai untuk kumpulan. 

 

"EPMB berada di peringkat yang berkembang pesat dan kami memerlukan pakar yang berkebolehan di peringkat atas untuk memacu kumpulan ke hadapan. 

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan pengalaman Lim di China sambil kami memanfaatkan peluang perniagaan baharu dan mengembangkan operasi sedia ada kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Lim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Komunikasi) dari University of South Australia pada tahun 1999 turut memiliki Ijazah Sarjana dalam Pengajian Media dari Universiti Trier, Jerman.

 

Lim berkata, kumpulan mempunyai potensi yang besar dan ia berada di landasan yang betul ke arah pertumbuhan yang lebih kukuh dan mampan. 

 

"Saya komited untuk mencapai sasaran segera EPMB dan akan menetapkan hala tuju ke arah mencapai matlamat strategik jangka panjang kumpulan," katanya. - DagangNews.com