PAC arah Mindef dapatkan penjelasan BHIC mengenai projek LCS | DagangNews Skip to main content

PAC arah Mindef dapatkan penjelasan BHIC mengenai projek LCS

Isu kelewatan penyiapan enam kapal tempur pesisir LCS menjadi perhatian PAC

KUALA LUMPUR 6 Okt — Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Kementerian Pertahanan (Mindef) mendapatkan penjelasan penuh daripada Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), syarikat yang diberikan kontrak kerajaan untuk membina enam kapal tempur pesisir (LCS) tentera Laut.

 

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata terdapat dua kenyataan bercanggah oleh BHIC dan Mindef mengenai projek LCS, dan terdapat bahagian yang telah disunting dalam laporan audit forensik mengenai perjanjian perolehan yang diterima sebelum ini.

 

“Pada sesi sebelum ini, BHIC menjelaskan syarikat menerima laporan forensik yang telah disunting daripada Mindef sebelum diserahkan kepada sekretariat PAC untuk dimuat naik di laman web PAC.

 

“Bagaimanapun, Setiausaha Agung Mindef Datuk Seri Muez telah menyatakan kepada PAC bahawa Mindef tidak pernah menerima laporan daripada BHIC dan tidak terlibat dalam sebahagian redaksi laporan forensik.

 

"PAC dengan ini meminta Mindef mendapatkan penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC mengenai apa yang sebenarnya berlaku," kata Wong pada sidang akhbar di Parlimen hari ini selepas mempengerusikan sesi PAC. - DagangNews.com