Orang ramai digesa waspada dengan penipuan pelaburan dalam talian salah guna nama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Orang ramai digesa waspada dengan penipuan pelaburan dalam talian salah guna nama Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Okt - Bursa Malaysia Bhd. menggerakkan kempen dengan tanda pagar #stayalert bagi mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan pelaburan dalam talian. 

 

Ini berikutan sejak akhir-akhir ini Bursa Malaysia menerima banyak laporan penipuan menerusi pelbagai saluran media sosial termasuk Telegram bagi untuk menarik orang ramai yang tidak curiga untuk menyertai skim pelaburan dalam talian yang meragukan.

 

Menurutnya, kebanyakannya penipuan itu turut menyalahgunakan nama dan logo Bursa Malaysia selain menampilkan diri mereka sebagai kakitangan di Bursa Malaysia.

 

"Bagi memastikan orang ramai sentiasa mendapat maklumat mengenai penipuan ini, Bursa Malaysia akan memulakan satu siri siaran dalam talian dengan tanda pagar #stayalert meliputi pelbagai jenis penipuan pelaburan yang menyalahgunakan Bursa Malaysia di media sosial, Telegram, dan penggunaan kepala surat dan logo palsu.

 

"Siaran secara mingguan ini akan menjadi peringatan tetap kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan penipuan ini dan melindungi pelaburan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pihak Bursa Malaysia turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila didekati pihak yang menyamar sebagai kakitangannya atau memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia.

 

Orang ramai perlu mengikuti saluran rasmi Bursa Malaysia menerusi Bursa Marketplace, Bursa Academy, Bursa Malaysia Facebook (https://www.facebook.com/BursaMalaysia), Bursa Malaysia Instagram (https://www.instagram.com/bursamalaysia), Bursa Malaysia Twitter (https://twitter.com/BursaMalaysia), Bursa Malaysia LinkedIn (https://www.linkedin.com/company/bursamalaysia) dan Bursa Malaysia Youtube (https://www.youtube.com/BursaMalaysia). 

 

Selain itu, Bursa Malaysia ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya tidak akan meminta mereka mengumpulkan dana untuk mana-mana skim pelaburan kolektif, sebaliknya hanya perlu melabur dengan profesional pelaburan berlesen. - DagangNews.com