Optimis dengan prospek pemulihan KPJ Healthcare, Kenanga Research naikkan unjuran untung bersih FY22-FY23 | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek pemulihan KPJ Healthcare, Kenanga Research naikkan unjuran untung bersih FY22-FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - KPJ Healthcare Bhd. menjangkakan pemulihan permintaan untuk perkhidmatannya, terutama yang tidak berkaitan dengan COVID-19 termasuk pembedahan elektif, berterusan sehingga suku tahun akan datang, sekali gus melepasi ramalan Kenanga Research memandangkan pandemik itu semakin berakhir. 

 

Ini membolehkan firma itu menaikkan unjuran keuntungan bersih kumpulan perubatan itu sebanyak 5% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23.

 

Semakan itu dibuat setelah mengambil kira anggaran daya pengeluaran pesakit meningkat daripada 12 hingga 10% kepada 14 hingga 12% dengan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat daripada 22 kepada 23%.

 

"Kami terus menyukai KPJ kerana ia memiliki 'keanjalan harga permintaan' yang rendah untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, yang bermakna ia kurang terdedah kepada inflasi yang tinggi kerana mereka boleh menurunkan kos yang lebih tinggi. 

 

"Selain itu, sahamnya juga menepati tema pembukaan semula ekonomi terutama bagi pembedahan elektif, di samping mempunyai kedudukan dalam pasaran tempatan yang kukuh dengan 28 rangkaian hospital (berbanding IHH Healthcare Bhd. memiliki 16 hospital)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Keuntungan bersih KPJ pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 naik kepada RM54.28 juta berbanding RM12.64 juta pada suku tahun sama pada tahun lalu manakala perolehan meningkat kepada RM809.16 juta daripada RM698.96 juta.

 

Prestasi lebih baik itu disokong oleh aktiviti hospital yang meningkat berdasarkan peningkatan kunjungan pesakit dan kadar penghunian katil, masing-masing kepada 910,995 pesakit (suku ketiga tahun kewangan 2021: 782,732 pesakit) dan 64% (suku ketiga 2021: 43%).

 

Ini menyaksikan keuntungan bersihnya bagi tempoh sembilan bulan melonjak 218% kepada RM103.57 juta daripada RM32.57 juta, dengan pendapatan meningkat kepada RM2.17 bilion daripada RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap KPJ dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.16 daripada RM1.02 sesaham sebelum ini. 

 

Menurutnya, kumpulan menysarkan margin EBITDA bagi FY22 mencapai 25% berbanding 24% bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

 

Anggaran itu lebih tinggi daripada anggaran firma sebanyak 22% manakala 27% bagi 2023 (lebih tinggi daripada anggaran firma pada 22%).

 

"Ini disebabkan kecekapan operasi yang lebih baik dan kadar penyerapan hasil operasi daripada pendapatan tambahan yang disokong oleh daya pengeluaran pesakit yang lebih tinggi.

 

"Kumpulan menjangkakan hospital yang belum menjana keuntungan seperti KPJ Perlis, KPJ Bandar Dato' Onn dan KPJ Batu Pahat akan menjadikan EBITDA positif pada penghujung 2022 berbanding kerugian EBITDA yang semakin mengecil dalam tempoh sembilan bulan tahun ini," jelasnya.

 

Setakat 10.21 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 2.05% kepada 95.5 sen dengan 154,200 saham diniagakan. -DagangNews.com