Northport terima 9 kren RTG baharu dari Jepun, atasi masalah kesesakan di pelabuhan | DagangNews Skip to main content

Northport terima 9 kren RTG baharu dari Jepun, atasi masalah kesesakan di pelabuhan

(Dari kiri ke kanan) Atsufumi Takahashi, Saito Hiroaki dan Azman Shah Mohd Yusof berdiri di hadapan kren Rubber Tyred Gantry ketika upacara penyerahan rasmi peralatan terminal baharu tersebut pada 8 Februari 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Northport (Malaysia) Bhd., telah menerima sembilan buah kren Rubber Tyred Gantry (RTG) baharu yang dibeli daripada Mitsui E&S Machinery Co., Ltd. (Mitsui E&S).

 

Peralatan terminal baharu tersebut adalah kumpulan pertama daripada sejumlah 23 buah RTG berkuasa diesel dan 11 buah elektrik RTG atau eRTG yang dibeli.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, kesesakan pelabuhan yang berlaku pada awal 2021 dan 2022 serta jangkaan kendalian yang tinggi secara konsisten untuk pengendalian kargo kontena dan konvensional di Northport telah mendorong syarikat menyusun semula terminal bagi meningkatkan kapasiti pelabuhan.

 

Katanya, pelan konfigurasi semula terminal melibatkan penukaran dan pembangunan lapangan kontena serta pemerolehan peralatan pelabuhan baharu.

 

"Langkah tersebut adalah perlu kerana kami telah mengendalikan jumlah kargo kontena yang tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami menjangkakan aliran peningkatan ini akan berterusan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Atsufumi Takahashi, Saito Hiroaki dan Datuk Azman Shah Mohd Yusof bersama kakitangan Northport dan Mitsui E&S.
Atsufumi Takahashi, Saito Hiroaki dan Azman Shah Mohd Yusof bersama kakitangan Northport dan Mitsui E&S di majlis penyerahan tersebut.

 

 

Syarikat itu telah mencatatkan pencapaian pecah rekod untuk dua tahun berturut-turut. Pada 2021, Northport berjaya mengendalikan sejumlah 3,324,364 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki), iaitu jumlah kendalian kontena tahunan tertinggi yang pernah dicatatkan. 

 

Pada tahun lepas, syarikat tersebut telah merekodkan 11,115,670 FWT (Freight Weight Tonnes) kendalian kargo, iaitu pencapaian tahunan tertinggi untuk pengendalian kargo konvensional sejak pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada 2000.

 

Buat masa ini, Northport beroperasi dengan sejumlah 84 buah kren RTG, yang terdiri daripada 71 buah RTG berkuasa diesel dan 13 buah e-RTG.

 

Sementara itu, Pengurus Besar, Bahagian Kren & Sistem Mitsui E&S, Atsufumi Takahashi gembira dan bangga penyerahan RTG tersebut kepada Northport berjaya dilaksanakan buat kali pertama.

 

“RTG baharu ini dilengkapi dengan ciri moden dan teknologi terkini, menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan konsisten bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perniagaan pelabuhan masa kini,” katanya.

 

 

Azman Shah Mohd Yusof (kanan) menerima model kren Rubber Tyred Gantry daripada Atsufumi Takahashi (kiri) sebagai simbolik penyerahan peralatan terminal baharu sambil disaksikan oleh Saito Hiroaki (tengah).
Azman Shah Mohd Yusof (kanan) menerima model kren Rubber Tyred Gantry daripada Atsufumi Takahashi (kiri) sebagai simbolik penyerahan peralatan terminal baharu sambil disaksikan oleh Saito Hiroaki (tengah).

 

 

Northport merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan eRTG pada 2013 dan akan menambah lagi 11 buah eRTG yang akan dihantar sepenuhnya menjelang Disember 2023 untuk lapangan kontena baharunya yang dikenali sebagai Blok J, selaras dengan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.

 

Selain daripada peralatan terminal mesra alam, syarikat itu juga telah melaksanakan inisiatif lain, termasuk gudang NDSB2 baharu yang dilengkapi dengan panel solar, sistem pengudaraan udara semula jadi, panel lut sinar untuk sistem pencahayaan semula jadi, sistem binaan berindustri (IBS) dan sistem penuaian air hujan.

 

Northport juga sedang menilai penggunaan jentera berkuasa LNG dan menggunakan biodiesel B10 untuk peralatan dan kenderaan terminal sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat. - DagangNews.com