Nitori sasar jualan RM115.52 bilion dan 3,000 cawangan menjelang 2032 | DagangNews Skip to main content

Nitori sasar jualan RM115.52 bilion dan 3,000 cawangan menjelang 2032

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Syarikat perabot dan barangan kelengkapan rumah yang terbesar di Jepun, Nitori mengumumkan sasaran 3,000 cawangan menjelang 2032 dan sasaran jualan AS$26.3 bilion (RM115.52 bilion) dengan peluasan di luar negara sebagai bahagian penting strategi pertumbuhannya.

 

Sasaran itu diletakkan berikutan kejayaan cawangan pertamanya di Asia Tenggara iaitu di Malaysia dan Singapura pada awal tahun ini,

 

Cawangan Nitori yang pertama di Asia Tenggara telah dibuka pada Januari 2022 di Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre di Malaysia, diikuti dengan cawangan kedua di Singapura pada bulan Mac 2022 di Jalan Orchard, yang merupakan laluan membeli-belah utama terbesar di Singapura. 

 

Cawangan kelima dan yang terbesar setakat ini akan dibuka pada 15 Disember di The Mall, Mid Valley Southkey di Johor Bahru.

 

Pembukaan ini merupakan langkah pertama dalam pelan peluasan Nitori di pasaran Asia Tenggara. Sepanjang lima tahun akan datang, syarikat ini merancang untuk membuka 20 cawangan di Malaysia dan 10 cawangan di Singapura sebagai sebahagian daripada sasaran peluasannya yang menyeluruh. 

 

Nitori ketika ini mempunyai 692 cawangan di Jepun, 88 di seluruh Taiwan, China dan Amerika Syarikat, dan merancang untuk menambah cawangannya kepada 3,000 dalam sedekad yang akan datang.

 

Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Nitori, Akio Nitori berkata, pihaknya berharap bahawa pembukaan cawangan baharu di Asia Tenggara ini akan membawa kami selangkah lebih dekat dengan misi untuk “memperkaya rumah di seluruh dunia”.

 

"Kami amat gembira dapat menawarkan produk kami kepada pelanggan di wilayah yang penting ini, yang kini sedang melalui pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kesemua fungsinya, daripada perancangan produk sehinggalah ke pengilangan, logistik dan jualan dijalankan sendiri dan Nitori terus membangun di seluruh dunia dengan pembukaan cawangan pada kadar pantas. 

 

Rangkaian cawangan di Asia Tenggara ini akan membantu kumpulan Nitori mencapai visi 2032 syarikat ini dengan memperkukuhkan jenama ini dalam pasaran Malaysia yang semakin membangun.

 

Acara pra-pembukaan di The Mall, Mid Valley Southkey akan diadakan pada 10 Disember 2022, pada pukul 2 petang. - DagangNews.com