Nilai akaun luar pesisir dari Malaysia antara tertinggi di dunia - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Nilai akaun luar pesisir dari Malaysia antara tertinggi di dunia - PM Anwar

KUALA LUMPUR 21 Feb - Jumlah wang bernilai berbilion dolar yang dibawa keluar dari negara ini untuk disembunyikan di bank dan akaun luar pesisir oleh pemimpin politik dan kumpulan peniaga, adalah antara yang tertinggi di dunia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, ia berdasarkan pendedahan oleh laporan Integriti Kewangan Global (GFI) pada 2010, Pandora Papers Panama (2016) dan Pandora Papers (2017), mengenai akaun luar pesisir milik rakyat Malaysia di beberapa negara.

 

Beliau percaya sejumlah besar wang yang disimpan di akaun luar pesisir itu adalah hasil daripada aktiviti haram, termasuk yang membabitkan bekas pemimpin negara.

 

"Jumlah wang dalam laporan GFI sehingga pendedahan Pandora Papers dari Malaysia itu agak tinggi berbanding jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi.

 

"Memang ada yang sebut beberapa negara besar lain seperti China, Arab Saudi dan sebagainya, tapi Malaysia itu ditingkat atas.

 

"Maknanya, wang yang dibawa keluar dari Malaysia, yang kebanyakannya diperoleh daripada sumber yang dianggap haram itu agak terlalu tinggi bagi negara ini," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

 

 

pm
                                     Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

 

 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menyiasat semua akaun luar pesisir membabitkan rakyat Malaysia, termasuk dana politik yang datang dari luar negara. 

 

Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pendirian kerajaan dalam isu Pandora Papers, Anwar memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Negara (NFCC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tertumpu pada tokoh politik utama negara.

 

"Yang disebut dalam Pandora Papers itu mencecah 3,000 individu. Ada yang sahih, ada peniaga tapi kita tumpu pada tokoh politik besar.

 

"(Antaranya) mantan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, yang sebenarnya dipercayai menyalah guna kuasa mereka memunggah kekayaan semasa mereka mempunyai kuasa," tegasnya.

 

Berhubung soalan tambahan Noraini mengenai langkah diambil Perdana Menteri bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam industri kewangan negara, Anwar memaklumkan beliau berpuas hati dengan tindakan diambil oleh NFCC, PDRM, SPRM, BNM dan LHDN setakat ini.

 

Beliau juga turut memberi peringatan kepada semua pihak untuk berhenti mempergunakan alasan membantu golongan Bumiputera demi memperkayakan diri sendiri dan parti politik.

 

"Ada dasar untuk bantu Bumiputera, boleh adakan tender terhad, itu tak dihalang tapi tak boleh guna alasan membantu Bumiputera untuk minta syarikat beri wang kepada peribadi atau parti, seperti amalan yang berlaku sebelum ini," katanya. - DagangNews.com