Nexia SSY letak jawatan sebagai juruaudit Sarawak Consolidated Industries Berhad | DagangNews Skip to main content

Nexia SSY letak jawatan sebagai juruaudit Sarawak Consolidated Industries Berhad

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Mac - Nexia SSY PLT telah meletakkan jawatan sebagai juruaudit luar Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) kerana "kesukaran dalam memperuntukkan sumber mencukupi yang diminta oleh syarikat" berdasarkan yuran yang dikenakan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata, “Setelah dibincangkan oleh jawatankuasa audit dan lembaga pengarah syarikat yang diadakan hari ini, lembaga pengarah telah memutuskan untuk menerima peletakan jawatan itu dengan kekesalan dan akan mengambil langkah yang perlu untuk melantik juruaudit luar baharu untuk mengisi kekosongan jawatan kasual”.

 

Pembuat produk konkrit pratuang terbesar di Sarawak berkata pelantikan juruaudit luar baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Nexia dilantik oleh SCIB pada Ogos 2021, berikutan peletakan jawatan KPMG PLT.

 

KPMG telah terlibat dalam pertikaian dengan Serba Dinamik Holdings Bhd, yang bersama-sama dengan SCIB, yang memiliki pemegang saham utama sama iaitu Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah.

 

KPMG telah mengetengahkan isu audit yang melibatkan transaksi lebih RM3.5 bilion dalam Serba Dinamik dan kemudiannya meletak jawatan sebagai juruauditnya pada 24 Jun 2021, selepas KPMG memfailkan tindakan mahkamah terhadapnya.

 

Selepas itu, KPMG juga meletakkan jawatannya sebagai juruaudit luar SCIB pada 26 Julai 2021.

 

Semasa mengumumkan peletakan jawatan KPMG ketika itu, SCIB berkata ia telah mendapatkan nasihat undang-undang berhubung peristiwa baru-baru ini yang menyelubungi KPMG, yang telah menyebabkan spekulasi buruk terhadap syarikat itu. - DagangNews.com