myIOU Business+ bantu perniagaan tempatan tangani cabaran pembiayaan | DagangNews Skip to main content

myIOU Business+ bantu perniagaan tempatan tangani cabaran pembiayaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Syarikat teknologi kewangan, IOU Pay (Asia) Sdn Bhd (myIOU) telah melancarkan myIOU Business+, satu kaedah pembiayaan perniagaan-ke-perniagaan (B2B). 

 

Produk baharu ini adalah portal atas talian yang memudahkan peniaga membuat pembiayaan dalam proses mengupah pembekal dengan menggunakan terma kredit melalui transaksi yang mudah dan automatik. 

 

myIOU Business+ merupakan satu perkembangan yang penting untuk syarikat myIOU dalam usaha melonjakkan namanya sebagai pemproses transaksi digital yang terulung di dalam bidang ekonomi tanpa tunai yang kian pesat di Asia Tenggara.    

 

myIOU bermatlamat tinggi bukan sahaja dalam membantu para pengguna melalui teknologi dan inovasi, tetapi juga dalam memperkasakan pemilik perniagaan di Malaysia, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk 97.2% daripada jumlah keseluruhan perniagaan, dan seterusnya menjana sebanyak 38.2% daripada jumlah keluaran dalam negara kasar. 

 

Oleh itu, myIOU Business+ dicipta untuk membolehkan PKS menikmati fleksibiliti dengan bayaran ansuran melalui Direct Debit sambil mendorong kepesatan perniagaan seiring dengan pemacuan aliran tunai.

 

Ketua Pemasarannya, Gwen Khor berkata, perkembangan yang berterusan dapat dilihat dan bersemangat untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan serta menawarkan banyak lagi produk yang selaras dengan nilai-nilai yang menjadi teras kepercayaan syarikat ini.

 

“Sama ada anda adalah pelanggan, wakil syarikat B2B, mahupun pihak pembekal, kita tetap akan ada tawaran yang dibuat khas untuk anda. Di Malaysia, PKS adalah tunggak kepada ekonomi kita, dan untuk berkembang, mereka perlukan satu rangka kerja pembiayaan yang dapat memberikan sokongan dalam waktu pemulihan pasca pandemik ini. 

 

 

iou

 

 

"Oleh itu, kita menggalakkan perniagaan kecil untuk mencari peluang dan menambah margin keuntungan mereka dengan menggunakan myIOU Business+ untuk mendapatkan diskaun daripada pembekal, yang ditawarkan dengan pembayaran segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

myIOU Business+ adalah solusi B2B atas talian sepenuhnya yang membolehkan para peniaga membiayai proses mengupah pembekal dengan menghantar sebut harga yang telah diterima, serta dokumen-dokumen yang lain kepada myIOU. 

 

Setelah itu, myIOU pula akan membayar kepada pihak pembekal jumlah penuh sebut harga itu selepas ditolak caj perkhidmatan. Ini dapat memudahkan pihak peniaga dalam urusan pembayaran kepada myIOU dengan menggunakan pelan sepanjang 4 ansuran bulanan, melalui transaksi automatik yang terhubung dengan FPX. 

 

Kedua-dua pihak pembekal dan peniaga boleh mendaftar dengan mudah selepas memuat naik dokumen yang diperlukan di portal myIOU Business+. Segala proses untuk pembekal dan peniaga, dari penerimaan, pengurusan dokumen, laporan, transaksi permulaan, hinggalah ke pembayaran dapat dilakukan secara mudah dan tertib melalui portal ini.

 

Dengan adanya myIOU Business+ untuk para peniaga dan juga para pembekal, bilangan transaksi perniagaan dipercayai akan makin bertambah, sementara prosesnya akan dapat disiapkan dengan lebih cepat lagi, lantas mengelakkan sebarang kebimbangan yang mungkin timbul akibat cabaran pembiayaan. - DagangNews.com