MYAirline mampu gugat 'takhta' AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah | DagangNews Skip to main content

MYAirline mampu gugat 'takhta' AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang murah

Syarikat penerbangan tambang murah baharu, MYAirline akan beroperasi mulai bulan ini. - Gambar : Facebook MYAirline

KUALA LUMPUR 7 Nov  — Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan operasi syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mulai bulan ini akan memberi sedikit impak negatif kepada Capital A Bhd.

 

Bagaimanapun, firma itu kekal positif terhadap prospek sektor penerbangan di negara ini dengan kehadiran pemain baharu seperti MYAirline. 

 

Namun, menurutnya, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) akan menikmati impak positif yang sederhana apabila syarikat penerbangan itu memulakan operasi. 

 

"Walaupun sejarah kembali berulang dengan syarikat penerbangan baharu ini, tetapi kami berpendapat, wujud beberapa perbezaan yang sangat penting pada 2013 apabila sebuah lagi syarikat penerbangan Malaysia, Malindo memulakan operasi sulungnya pada tahun berkenaan.

 

"Pertumbuhan kapasiti industri pada masa hadapan akan menjadi lebih sederhana kali ini walaupun dengan kemasukan MYAirline dalam sektor penerbangan Malaysia.

 

"Oleh itu, kesan positif/negatif terhadap MAHB dan Capital A sepatutnya lebih sederhana pada masa ini juga," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

myairline

 

 

Sebelum ini, apabila Malindo memulakan operasinya, trafik penumpang MAHB di Malaysia melonjak 18% tahun ke tahun manakala bagi Capital A, tambang purata AirAsia Malaysia turun 10% tahun ke tahun pada 2013.

 

Didapati trafik MAHB melonjak bukan sahaja disebabkan oleh kemasukan Malindo, tetapi juga didorong oleh syarikat penerbangan Malaysia lain yang menerima pesawat baharu, pilihan raya umum Ke-13 (PRU13), memberi impak positif kepada trafik penumpang.

 

Sementara itu, Malaysia Airlines yang menyertai perikatan oneworld pada tahun itu, menggalakkan syarikat penerbangan ahli untuk terbang dengan lebih kerap ke Malaysia.

 

Namun, menurut Maybank IB, tiada syarikat penerbangan Malaysia ketika ini selain Batik Air Malaysia yang merancang untuk meningkatkan saiz armada.

 

Sebaliknya, firma itu berkata, perkara yang menjadi perbincangan ramai mengenai 20 pesawat Airbus A330 yang akan dibawa oleh Malaysia Airlines adalah untuk menggantikan, bukannya mengembangkan pesawt Airbus A330 sedia ada.

 

“Tambahan pula, AirAsia Malaysia bercadang untuk memindahkan 10 hingga 11 pesawat ke AirAsia Indonesia untuk memanfaatkan persekitaran tambang tinggi di sana.

 

“Oleh itu, peningkatan trafik penumpang ke MAHB daripada kemasukan MYAirline mungkin akan lebih sederhana kali ini,” jelasnya.

 

Pada masa sama, Maybank IB mendapati, langkah syarikat penerbangan Malaysia yang tidak akan menambah kapasiti dalam tempoh terdekat, ditambah dengan rancangan MYAirline untuk tidak bersaing dengan syarikat penerbangan lain, ia menganggap sektor penerbangan Malaysia tidak akan berada pada paras sebelum pandemik apabila lebihan kapasiti mendorong syarikat penerbangan tempatan untuk bersaing sehingga menyebabkan tiada syarikat penerbangan tempatan mencatat keuntungan pada 2019.

 

"Sehubungan itu, kami menjangkakan penurunan tambang AirAsia Malaysia berikutan kemasukan MYAirline menjadi lebih sederhana kali ini," katanya.

 

 

myairline

 

 

Buat masa ini, armada MYAirline terdiri daripada empat pesawat Airbus A320 yang dipajak daripada beberapa pemajak.

 

Menurut firma itu, syarikat penerbangan ini menyasarkan untuk memajak lebih daripada 50 pesawat dalam tempoh lebih lima tahun. 

 

"Tetapi, setakat ini, ia tidak merancang untuk memajak pesawat Boeing B737 MAX atau Airbus A330. Ia berhasrat untuk menggunakan hanya satu jenis pesawat (Airbus A320) dan satu konfigurasi (180 tempat duduk)," jelasnya lagi.

 

Dari segi kos pula, katanya, berdasarkan beberapa sumber daripada industri pajakan pesawat, mendedahkan, MYAirline mampu bersaing dengan Capital A untuk gelaran starikat penerbangan tambang murah yang menawarkan tambang terendah di peringkat antarabangsa.

 

"Malah, mereka juga mendedahkan MYAirline memperoleh kadar pajakan pesawat yang rendah," katanya.

 

Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap MAHB dan Capital A dengan harga sasaran masing-masing pada RM7.16 dan 84 sen. - DagangNews.com