Muzium dan Galeri Seni BNM cipta rekod MBOR peserta teramai dalam acara membuat tabung | DagangNews Skip to main content

Muzium dan Galeri Seni BNM cipta rekod MBOR peserta teramai dalam acara membuat tabung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) untuk ‘Peserta Teramai dalam Acara Membuat Tabung’ yang diadakan semasa Festival Kanak-Kanak @ MAG 2022.

 

Seramai 560 pelajar (termasuk pelajar pendidikan khas), guru dan orang awam menyertai acara membuat tabung yang dinamakan ‘Jom Buat Tabung’. 

 

Acara dan majlis anugerah MBOR anjuran BNM MAG diadakan serentak dengan tema Festival tahun ini iaitu ‘Sikit-Sikit Lama-Lama Jadi Bukit’.

 

Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk kesedaran pengurusan wang secara berhemah melalui aktiviti membuat tabung. 

 

"Ia berdasarkan konsep ‘Simpan, Belanja dan Kongsi’ dan memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang pengetahuan asas mengurus kewangan supaya mereka boleh mula daripada kecil dan merancang masa depan lebih cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sijil tersebut disampaikan oleh Penganalisis Penyelidikan MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh yang turut dihadiri Konsultan MBOR, Siti Hajar Johor di Muzium dan Galeri Seni BNM.

 

Bermula hari ini hingga 31 Disember 2022, Festival Kanak-Kanak @ MAG 2022 kembali untuk tahun yang ke-9, menjadikan lobi muzium sebagai taman didik hibur yang memfokuskan pada pendidikan kewangan dan mata wang. 

 

 

bnm

 

 

bnm

 

 

Ia diadakan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun dan keluarga, serta menawarkan pelbagai permainan, pertandingan, aktiviti bercerita, ceramah, main peranan, program memasak, seni visual dan aktiviti interaktif.

 

Musim cuti sekolah sudah semakin hampir, festival ini meneruskan misinya dengan menjemput pelawat untuk menyertai kempen sumbangan yang bertemakan Kembali-ke-Sekolah yang sedang berlangsung sekarang sehingga penghujung bulan Januari 2023. 

 

Barangan yang telah dikumpul seperti beg sekolah dan alat tulis akan diedarkan kepada mereka yang memerlukan pada bulan Februari 2023. - DagangNews.com