Muhyiddin minta Anwar buktikan SD sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin minta Anwar buktikan SD sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat bagi membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti.

 

Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya memberikan Anwar peluang untuk membuktikan perkara itu kerana bagi mengelakkan keraguan ramai terhadap keabsahan beliau memiliki sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

 

Beliau mengesahkan bahawa beliau memiliki sokongan majoriti 115 Ahli Dewan Rakyat selepas menghantar SD kepada pihak Istana Negara seperti yang ditetapka Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 21 November 2022 dan disahkan penerimaan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd. Alim.

 

Katanya, hari ini Istana Negara mengeluarkan kenyatan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan beliau sewajarnya membuktikan sokongan itu dengan kemukan SD daripada mereka yang memberikan sokongan.

 

“Pada pukul 10.30 pagi 22 November 2022, Setiausaha Agong PN menghantar satu lagi surat akuan ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri menjadikan jumlah ahli parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115.

 

"Bagi peluang (Anwar) buktikan, kena ada akuan bersumpah kerana kami ikut arahan Speaker Dewan Rakyat guna SD.

 

"Surat dari langit tidak boleh, kalau kata sahaja tetapi tidak ada SD, Istana Negara boleh tolak. Kami sudah ikut arahan setiap sokongan kami sertakan dengan SD.

 

"Ia bagi mengelakkan keraguan, seluruh Malaysia nak tahu dia ada SD atau tidak, media pu nak tahu," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

 

Muhyiddin berkata, perkara itu merujuk kepada kenyataan Istana Negara hanya mengenai pelantikan tersebut dan tidak ada sebarang kaitan dengan pembentukan kerajaan perpaduan. 

 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

 

Dalam kenyataan rasmi Istana Negara hari ini, setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

 

Pelantikan adalah selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2) (a) Perlembagaan Persekutuan. - DagangNews.com