MTUC akan bantu bekas warga Utusan, desak kerajaan campur tangan | DagangNews Skip to main content

MTUC akan bantu bekas warga Utusan, desak kerajaan campur tangan

Bekas pekerja-pekerja Utusan mengadakan perjumpaan dengan MTUC bagi membincangkan permasalahan dan mencari penyelesaian atas nasib yang menimpa bekas pekerja syarikat itu.

KUALA LUMPUR 5 Okt - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyatakan komitmen untuk membantu bekas pekerja-pekerja Utusan Melayu (Utusan) yang diberhentikan kerja bagi menuntut hak mereka daripada segi pampasan atau apa-apa tungakan pembayaran yang sewajarnya.

 

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya berharap perkara tersebut akan diselesaikan secara baik melalui meja rundingan antara bekas pekerja dan majikan yang boleh dilakukan melalui campur tangan kerajaan, terutama kepimpinan negara.

 

"MTUC akan berjumpa dengan kepimpinan negara, terutama pemimpin UMNO bagi mengetahui adakah mereka ingin menyelesaikan masalah bekas pekerja Utusan ini atau tidak?," katanya dalam pertemuan dengan bekas pekerja Utusan yang diketuai oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu, Saifol Bakhtiar Hamik di pejabat MTUC di sini, hari ini.

 

Kamarul Baharin berkata, kerajaan terutama parti UMNO perlu bertanggungjawab sepenuhnya dengan nasib pekerja, terutama warga Utusan kerana syarikat itu sememangnya diketahui agak sinonim dengan perjuangan Melayu dan parti itu sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

 

"Masalah ini perlu diselesaikan segera dan tidak boleh dibiarkan berpanjangan, sebagai Keluarga Malaysia, bekas warga Utusan itu tidak seharusnya dianiaya dan dibiarkan terkontang kanting dalam menuntut hak mereka," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang telah mula prihatin dengan nasib bekas pekerja dengan pengenalan pelbagai peraturan yang positif seperti bersetuju dengan cadangan MTUC agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi ruang kepada wakil MTUC berada dalam lembaga pengarah syarikat.

 

9 Oktober ini, genap syarikat Utusan ditutup selama tiga tahun dengan kaedah penggulungan sukarela, bagaimanapun tiada sebarang pampasan diberikan kepada kira-kira 1,500 bekas pekerja yang diberhentikan dan tunggakan bayaran kepada kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS), katanya.

 

 

mtuc

 

 

Menurutnya, MTUC bersetuju untuk membela nasib bekas pekerja Utusan demi survival hidup mereka kerana masih ramai yang dalam keadaan daif, sakit dan tiada pekerjaan akibat tidak bersedia apabila syarikat itu ditutup dengan notis yang singkat.

 

Katanya, kesatuan itu memandang isu bekas warga Utusan itu dan akan mengambil langkah sewajarnya agar ada pihak yang tampil memberi jalan penyelesaian terhadap perkara yang sudah lama tertangguh.

 

Beliau berkata, MTUC menyatakan komitmen akan bersama-sama dengan bekas kakitangan Utusan dalam perjuangan mereka dan akan memastikan perkara terebut diselesaikan sepenuhnya.

 

 

mtuc
Kamarul Baharin Mansor

 

 

"Jika perkara seumpama ini tidak diselesaikan secara baik, MTUC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana majikan yang menganiaya pekerja mereka, terutama sekali pekerja tempatan," katanya sambil menyatakan kesatuannya pernah mengambil tindakan serupa terhadap majikan yang menganiaya pekerja sebelum ini.

 

Beliau yang terlibat dalam isu tuntutan bekas kakitagan Perwaja sebelum ini yakin perkara itu dapat diselesaikan jika pihak majikan benar-benar ingin mencari penyelesaian dan bukan mencari alasan untuk tidak membayar apa-apa bayaran kepada bekas kakitangan.

 

Sebagai maklumat, syarikat yang bertindak sebagai pelikuidasi syarikat itu, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd masih belum menjelaskan sepenuhnya apakah bayaran yang akan diperoleh oleh bekas kakitangan Utusan dan bilakah mereka akan menerimanya walaupun proses penjualan aset Utusan telah berjalan sejak tiga tahun lalu. - DagangNews.com