Mohamad Jefri bawa pulang Mercedes-Benz A200 selepas menang cabutan utama SBMB 2.0 anjuran MBSB Bank | DagangNews Skip to main content

Mohamad Jefri bawa pulang Mercedes-Benz A200 selepas menang cabutan utama SBMB 2.0 anjuran MBSB Bank

Pemenang Cabutan Utama, Mohamad Jefri Mohamad bergambar dengan kereta Mercedes-Benz A200 yang dimenangi pada majlis penyampaian hadiah SBMB 2.0 di Pasar Raya Mydin di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Seorang pemenang bertuah dari Kuala Terengganu, Mohamad Jefri Mohamad membawa pulang sebuah kereta Mercedes-Benz A200 selepas memenangi Cabutan Utama untuk suku pertama 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' CASA-i (SBMB 2.0) anjuran MBSB Bank Bhd.

 

Empat lagi pemenang, Low Beng Cheong, Low Wan Choon, Kamarudin Yahya dan Zulkeflee Ismail masing-masing memenangi wafer emas bagi Cabutan Simpanan Tinggi Serantau di Wilayah Pantai Timur.

 

Hadiah-hadiah kepada pemenang Kategori Cabutan Utama dan juga Cabutan Simpanan Tinggi Serantau di Wilayah Pantai Timur disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank Bhd, Jesleigh Johari. 

 

Jesleigh berkata, kempen yang dijalankan buat kali kedua berikutan kejayaan SBMB 1.0 itu menunjukkan bahawa para pelanggan sangat berminat untuk menyertai kempen seperti itu.

 

"Semenjak bermulanya penganjuran SBMB 2.0, kami dapat melihat peningkatan penyertaan sebanyak 90% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kesemua para pelanggan setia yang menyertai kempen ini dan di atas sokongan berterusan terhadap MBSB Bank," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, pihaknya akan terus menawarkan kempen-kempen menarik untuk manfaat semua pihak.

 

Kempen SBMB 2.0 yang bermula pada 1 September 2022 dan akan berakhir pada 31 Mei 2023 menawarkan pelbagai hadiah menarik bernilai RM2.4 juta termasuklah kereta mewah, motosikal, telefon pintar dan wang tunai. 

 

Kempen itu terdiri daripada tujuh Kategori Cabutan iaitu Bulanan, Kesetiaan, Simpanan Baharu, Digital, Simpanan Tinggi Serantau, Istimewa serta Utama.

 

Kepada yang berminat untuk menyertai kempen SBMB 2.0, penyertaan boleh dilakukan melalui pembukaan Akaun Simpanan atau Akaun Semasa Primewin-i dengan jumlah deposit minimum bernilai RM100 di mana-mana cawangan MBSB Bank, atau dalam talian di laman web MBSB Bank, www.mbsbbank.com. - DagangNews.com