Model SWN 5G kemungkinan besar akan dinilai semula, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Model SWN 5G kemungkinan besar akan dinilai semula, kata MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Model rangkaian borong tunggal (SWN) menerusi Digital Nasional Bhd. (DNB) bagi pelancaran 5G di negara ini kemungkinan besar akan dinilai semula berikutan pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH), demikian menurut penganalisis. 

 

Ini berikutan parti politik itu yang bertindak sebagai pembangkang sebelum ini telah membangkitan kebimbangan mengenai risiko pelaksanaan 5G menerusi DNB dari segi kos, ketelusan dan tadbir urus.

 

Dalam manifestonya, PH juga menekankan untuk meluaskan penembusan internet berkelajuan tinggi ke seluruh Malaysia agar kemiskinan internet dapat dibanteras.

 

Menurut MIDF Research, jika PH beralih daripada model SWN, sama ada untuk membenarkan rangkaian borong dua (DWN) atau penempatan secara individu oleh syarikat pengendali mudah alih (MNO), ia akan memberi kesan negatif kepada sektor telekomunikasi.

 

Katanya, ia memandangkan ketidaktentuan yang berpanjangan pada pelan pelancaran 5G dan akan mencetuskan risiko reputasi kepada kerajaan.

 

"Secara keseluruhan, Maxis Bhd., Digi.com Bhd. dan Celcom Axiata Bhd. cenderung untuk menjadi penerima manfaat utama jika penempatan secara individu menggantikan model SWN memandangkan bahagian pasaran mereka yang besar dalam ruang mudah alih dan kedudukan kewangan untuk melabur dalam pelan pelancaran 5G," katanya dalam laporan tematik hari ini.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi berikutan ketidaktentuan dalam perkembangan kawal selia.

 

Pada 30 Oktober lalu, Celcom, Digi Telecommunications Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd. (TM), U Mobile Sdn. Bhd. dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES) telah menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing bersama DNB.

 

Setakat akhir Ogos 2022, DNB kekal berada di landasan untuk mencapai kira-kira 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024.

 

Kos pembangunan rangkaian 5G adalah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, tanpa sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan selain suntikan ekuiti bernilai RM500 juta untuk memulakan operasi syarikat DNB. 

 

Mac lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk MNO memegang ekuiti dalam DNB.

 

Kerajaan akan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada MNO yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong. 

 

Dengan struktur pemilikan baharu itu, kerajaan akan memegang 30% ekuiti dengan DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). - DagangNews.com