MIDF Research unjur tekanan kos lebih rendah untuk pengeluar Malaysia didorong isu rantaian bekalan global semakin berkurangan | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur tekanan kos lebih rendah untuk pengeluar Malaysia didorong isu rantaian bekalan global semakin berkurangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - MIDF Research mengunjurkan tekanan kos yang lebih rendah untuk pengeluar Malaysia didorong harga komoditi yang lebih rendah dan isu rantaian bekalan global yang berkurangan.

 

Firma itu berkata, pembukaan semula China, bekalan tenaga kerja dan bahan mentah yang lebih baik di peringkat global memberikan sokongan yang lebih baik.

 

Katanya, penurusan berterusan dalam inflasi indeks harga pengeluar (PPI) memberikan isyarat positif terutamanya untuk trajektori indeks harga pengguna (CPI) dalam jangka masa terdekat.

 

"Bagaimanapun, kadar faedah yang lebih tinggi dalam ekonomi utama, harga tenaga yang tinggi, turun naik tukaran mata wang dan ketegangan geopolitik berterusan akan terus menimbulkan risiko penurunan inflasi global termasuk tekanan pertumbuhan harga Malaysia pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Inflasi input Malaysia menguncup buat kali pertama dalam dua tahun, menyusut sebanyak 0.8% tahun ke tahun pada Februari tahun ini.

 

Pada asas bulan ke bulan, inflasi input jatuh sebanyak 0.2%, menandakan pertumbuhan negatif buat bulan ketiga berturut-turut.

 

Firma itu berkata, tekanan harga ke atas pengeluar disebabkan penyusutan berterusan kos bahan mentah dan penyederhanaan dalam kos bahan perantaraan.

 

Katanya, inflasi bahan mentah kekal menyusut sejak Ogos lalu, manakala pertumbuhan kos bahan perantaraan menyederhana kepada paras terendah hampir dua tahun pada 3.3% tahun ke tahun pada Februari 2023.

 

"Kami percaya penguncupan berterusan inflasi bahan mentah adalah disebabkan oleh harga tenaga global yang lebih rendah, manakala peningkatan dalam inflasi kos bahan perantaraan sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan tekanan rantaian bekalan global dan paras dolar Amerika Syarikat/ringgit yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com