MIDF Research ulangi saranan 'jual' terhadap semua syarikat pengeluar sarung tangan ekoran permintaan masih lemah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research ulangi saranan 'jual' terhadap semua syarikat pengeluar sarung tangan ekoran permintaan masih lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Dis – MIDF Research mengekalkan pandangan 'negatif' terhadap sektor sarung tangan getah memandangkan ia masih dipengaruhi masalah lebihan bekalan dan kadar penggunaan yang rendah. 

 

Malah, firma itu percaya permintaan sarung tangan getah juga kekal lemah pada tahun hadapan dengan kadar penggunaan diunjur sekitar 35 hingga 45% bagi semua syarikat sarung tangan getah di bawah liputannya.

 

Ini mendorongnya mengulangi saranan 'jual' terhadap Hartalega Holdings Bhd., Kossan Rubber Industries Bhd., Supermax Corp. Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada RM1.78, 90 sen, 31 sen dan 54 sen sesaham. 

 

Ia menjangkakan dinamik permintaan dan bekalan hanya akan kembali kepada paras normal dalam tempoh satu hingga setahun setengah.

 

"Kami mendapati kadar penggunaan syarikat sarung tangan berbeza antara 30 hingga 45% pada suku ketiga 2022, dengan kadar penggunaan purata industri jatuh di bawah 45%, jauh di bawah paras sebelum pandemik sekitar 75 hingga 90%

 

"Berdasarkan semakan saluran kami, pesanan yang datang daripada pembeli besar seperti pengimport sarung tangan, hospital dan kerajaan telah merosot kerana lebihan stok semasa wabak dan pelarasan inventori berikutnya selepas fasa endemik," katanya dalam laporan prospek 2023 yang dikeluarkan semalam.

 

 

gambar hiasan

 

 

Setakat suku ketiga, harga jualan purata (ASP) campuran berada dalam julat antara AS$17 hingga AS$22 per 1,000 keping, yang mana ia adalah lebih rendah daripada paras sebelum pandemik pada AS$22 hingga AS$25.

 

Beberapa pemain kecil yang keluar daripada pasaran menjual pada harga rendah yang tidak mampan (di bawah kos pulang modal) antara AS$14 dan AS$16, seterusnya menurunkan lagi ASP.

 

Selain itu, persaingan sengit dengan pembuat sarung tangan China juga memberi kesan kepada pembuat sarung tangan tempatan.

 

Namun, MIDF Research melihat penurunan ASP bagi suku ke suku berkurangan pada suku ketiga dan ASP campuran pada 2023 dijangka stabil pada harga antara AS$19 hingga AS$21 sebelum dinamik permintaan-bekalan yang tidak sekata kembali normal.

 

"Pada masa sama, syarikat pembuat sarung tangan juga terkesan dengan kenaikan mendadak harga gas asli dan arang batu sejak Februari lalu apabila tercetusnya konflik Rusia-Ukraine. 

 

"Walaupun harga gas asli dijangka turun pada tahun hadapan, tetapi kami mengunjurkan kos tenaga akan kekal sama atau lebih rendah sedikit daripada 2022 disebabkan kesan ketinggalan kira-kira enam bulan yang memberikan kos gas asli yang lebih rendah kepada pengguna," jelasnya. - DagangNews.com