MIDF Research : Ringgit diunjur berlegar RM4, dengan KLCI pada 1,700 mata menjelang akhir 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research : Ringgit diunjur berlegar RM4, dengan KLCI pada 1,700 mata menjelang akhir 2023

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Jan - MIDF Research menjangkakan ringgit akan mengukuh lebih pantas daripada jangkaan kepada RM4 menjelang akhir tahun ini dan berlegar sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Pengukuhan mata wang tempatan ini dipengaruhi langkah Rizab Persekutuan AS (Fed) yang kurang agresif terhadap kenaikan kadar faedah dengan ringgit semakin menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila berakhir pada RM4.244 pada 27 Januari lalu, paling kukuh dalam tempoh 8 bulan ini.

 

Berdasarkan kepada kekuatan ringgit, terutama menjelang akhir 2022, ringgit telah mengukuh  berbanding euro, pound sterling dan kebanyakan mata wang serantau pada tahun lalu tetapi lemah berbanding dolar AS, dolar Singapura dan baht Thailand.

 

Apabila dibandingkan dengan mata wang lain, ringgit terus meningkat berbanding kebanyakan mata wang kecuali baht Thailand dan rupiah Indonesia.

 

"Walaupun kami kekal yakin terhadap perbezaan pertumbuhan dan faedah, serta kelemahan dolar AS akan menyokong prospek ringgit tahun ini, tetapi kami percaya beberapa risiko boleh mempengaruhi prestasi mata wang tempatan.

 

"Permintaan terhadap aset yang mampu menjana permintaan tinggi dalam tempoh jangka panjang (safe-haven) akan menjadi pencetus kemungkinan untuk prospek dolar AS yang lebih kukuh, ekoran kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang lebih perlahan tahun ini dan risiko kemelesetan.

 

"Sekiranya, permintaan agregat dalam ekonomi maju menurun dengan lebih mendalam daripada jangkaan, ini boleh mengimbangi semula aliran dana kembali ke dalam sekuriti berdenominasi dolar AS," katanya dalam laporan tematik hari ini.

 

 

Fed AS

 

 

Mengulas lebih lanjut, MIDF Research berkata, kemungkinan aliran menurun yang lebih ketara dalam inflasi AS yang boleh memaksa Fed melanjutkan pengetatan dasar kepada tempoh yang lebih lama juga akan menjejaskan prospek pertukaran asing.

 

Sementara itu, memandangkan pembukaan semula ekonomi China juga akan menyokong mata wang serantau tahun ini, prospek pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan dalam pemulihan ekonomi China akan menjadi negatif kepada rantau ini.

 

Dalam erti kata lain, kelembapan yang lebih ketara dalam prospek perdagangan dan pelaburan global dan serantau juga akan mengekang prospek pertumbuhan, justeru, memberi satu lagi risiko penurunan kerana aliran dana ke rantau ini dan Malaysia mungkin terhad.

 

"Di peringkat domestik, kami memantau sama ada langkah baharu dan tindakan dasar yang diumumkan kerajaan termasuk pembentangan semula Bajet 2023 akan memberikan mata positif tambahan kepada prospek ringgit tahun ini.

 

"Ini kerana jika kestabilan politik dapat dikekalkan, faktor ini juga akan menyokong nilai ringgit untuk terus mengukuh tahun ini," jelasnya.

 

 

ringgit

 

 

Kelemahan dalam dolar AS berterusan pada tahun ini berdasarkan kepada kemas kini baru-baru ini menunjukkan inflasi yang lebih rendah di AS, justeru, menyokong kenaikan kadar yang lebih kecil oleh Fed.

 

Akibatnya, mata wang serantau terus mengukuh antara 1.6 hingga 5.5% dalam empat minggu pertama 2023 iaitu sehingga 27 Januari 2023.

 

Antara awal November hingga akhir 2022, ringgit mengukuh 7.8% berbanding dolar AS menjadikan ia mata wang ketiga mengukuh paling pantas selepas baht dan won Korea.

 

Selain didorong kesan positif daripada jangkaan Fed, asas pertumbuhan Malaysia juga kekal menggalakkan memandangkan perbelanjaan domestik kukuh dan aktiviti perbelanjaan serta pasaran buruh dijangka bertambah baik tahun ini.

 

Pada masa sama, menurut MIDF Research, lebihan akaun semasa yang mampan turut menyokong permintaan terhadap ringgit. 

 

"Setakat tahun ini, peningkatan berterusan ringgit sehingga 27 Januari juga antara yang paling ketara, mengukuh 3.8% kepada RM4.244 daripada RM4.405 pada akhir 2022.

 

"Ia meletakkan ringgit di kedudukan ketiga selepas baht dan rupiah dari segi peningkatan setakat tahun ini," katanya.

 

 

Bursa Malaysia

 

 

Bagi pasaran tempatan, firma itu mengekalkan unjuran FBM KLCI akan berlegar sekitar 1,700 mata menjelang akhir tahun ini, mencerminkan harga-kepada-pendapatan bagi tahun kewangan 2023 (FY223) sebanyak 15 kali ganda, menjelang mesyuarat Fed dan Bajet 2023.

 

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, di sebalik kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kemelesetan yang akan berlaku, kami berpendapat pasaran aset berisiko (dan ekuiti khususnya) sedang condong ke arah menaik dalam jangka pendek hingga sederhana," jelasnya. - DagangNews.com