MIDF Research 'potong' 6% keuntungan Petronas Chemicals bagi FY23-FY24 ekoran kelemahan permintaan produk petrokimia | DagangNews Skip to main content

MIDF Research 'potong' 6% keuntungan Petronas Chemicals bagi FY23-FY24 ekoran kelemahan permintaan produk petrokimia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - MIDF Research mengurangkan unjuran keuntungan Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 6%, sejajar dengan prospek permintaan hiliran yang lemah untuk produk petrokimia.

 

Susulan kebimbangan tekanan inflasi dan kelembapan permintaan China pada suku akan datang, firma itu turut menyemak turun unjuran keuntungan bagi FY24 sebanyak 9%. 

 

Ini mendorongnya menyemak semula harga sasaran PCG lebih rendah pada RM11.77 daripada RM11.93 sesaham sebelum ini.

 

Menurutnya, harga produk petrokimia akan terus bergerak seiring dengan harga minyak mentah, terutamanya untuk segmen olefin dan derivatif (O&D).

 

Dalam jangka masa terdekat, katanya, kadar penggunaan kilang pengeluaran kumpulan dan kadar tukaran mata wang asing akan memberi kesan yang ketara kepada operasi PCG.

 

"Penggunaan loji adalah bergantung kepada bekalan utiliti, ketersediaan stok suapan dan aktiviti penyelenggaraan loji, dan ini akan menyaksikan kumpulan terus mengekalkan kecemerlangan operasi dan hubungan pembekalnya untuk memastikan tahap penggunaan loji berada di atas penanda aras industri.

 

"Pada masa sama, permintaan untuk produk petrokimia dan turun naik pasaran akan terus terjejas akibat COVID-19.

 

"Namun begitu, kami percaya harga O&D PCG akan kekal sederhana berikutan margin hiliran yang lebih kecil dan peningkatan tekanan inflasi, manakala segmen baja dan metanol (F&M) terus berdaya tahan disebabkan kekurangan produk dalam pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Petronas Chemicals catat untung RM1.9 bilion bagi suku ketiga di sebalik tekanan margin

 

Untung bersih PCG susut 3.5% kepada RM1.89 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM1.96 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya ekoran margin yang lebih rendah dan sumbangan yang kurang daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 22% kepada RM7 bilion daripada RM5.8 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 didorong oleh harga produk yang lebih tinggi berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, ditambah dengan jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatan kumpulan meningkat 26% kepada RM20.2 bilion, manakala keuntungan bersihnya meningkat 11% kepada RM5.8 bilion, berbanding RM5.29 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap PCG memandangkan kedudukannya yang kukuh dalam industri petrokimia tempatan dan serantau.

 

"Kami mengulangi pendirian positif terhadap PCG kerana percaya usaha berterusan kumpulan untuk pertumbuhan dari segi kerjasama, pengeluaran, pelaburan dan kemampanan akan berterusan sehingga suku seterusnya dan FY23.

 

"Bagaimanapun, risiko kepada operasinya bergantung kepada kenaikan tekanan inflasi dan kemelesetan ekonomi, ketegangan geopolitik dan permintaan yang lebih lemah meskipun bekalan  minyak mentah adalah stabil," jelasnya.

 

Setakat 11.16 pagi ini, harga sahamnya susut 39 sen atau 4.3% kepada RM8.69 dengan 3.78 juta saham diniagakan. -DagangNews.com