MIDF kekal penarafan negatif sektor pembuatan sarung tangan | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal penarafan negatif sektor pembuatan sarung tangan

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 27 Mac - MIDF Research mengekalkan penarafan negatif kepada sektor pembuatan sarung tangan berikutan turun naik harga bahan mentah dijangka akan menjejaskan kos pengeluaran pembuat sarung tangan Malaysia.

 

Firma tersebut menamakan tiga pengeluar sarung tangan iaitu Hartalega Holdings Bhd., Kossan Rubber Industries Bhd. dan Top Glove Corp Bhd.

 

MIDF dalam satu nota kajian menyatakan, harga bahan mentah bagi pengeluar sarung tangan dijangka masih berada pada tahap tidak menentu dalam tempoh terdekat ini.

 

Menurut firma itu, pembeli tertentu mungkin terlibat dalam beberapa aktiviti penyimpanan semula dalam tempoh terdekat ini di tengah-tengah inventori lama yang dijangka habis menjelang akhir tahun 2023.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan aktiviti penyiapan semula akan kekal hambar memandangkan kebanyakan negara telah beralih kepada fasa endemik selepas pembukaan semula sempadan.

 

“Margma (Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia) kini menjangkakan permintaan sarung tangan global akan kembali normal kepada paras pra-pandemik pada 2023 (300 bilion sarung tangan) berbanding 280 bilion sarung tangan pada 2018 dan 340 bilion sarung tangan pada 2019,” kata firma itu.

 

Dengan pertumbuhan tahunan yang normal, MIDF berkata, ia menjangkakan permintaan untuk sarung tangan di seluruh dunia akan kembali normal ke tahap pra-pandemik.

 

Sementara itu, menurut MIDF, kadar penggunaan industri jatuh daripada 35%-40% pada 4QCY2022 kepada 32%-35% pada 1QCY2023, selepas mengecualikan kilang tidak cekap yang ditutup buat sementara waktu.

 

Tambahnya, semua pembuat sarung tangan di bawah liputannya berdagang pada diskaun 33%-52%

 

“Kami percaya bahawa ini adalah wajar dengan mengambil kira risiko penurunan berterusan terhadap keuntungan syarikat mereka.

 

"Oleh itu, kami akan menunggu lebih banyak maklumat mengenai reaksi pelanggan terhadap kenaikan harga jualan purata," katanya.

 

MIDF berkata, ia kekal berhati-hati mengenai prospek berikutan persaingan sengit berterusan yang digabungkan dengan permintaan sarung tangan yang normal dan mengakibatkan lebihan bekalan sarung tangan.

 

Tambah firma itu, mereka mengekalkan pandangan bahawa dinamik permintaan-penawaran tidak mungkin kembali normal sekurang-kurangnya dalam setahun akan datang ini. 

 

“Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Hartalega.

 

“Kami memilih Hartalega kerana kedudukan tunai bersihnya yang besar sebanyak RM1.9 bilion (bersamaan dengan 27% daripada permodalan pasaran) yang mungkin berfungsi sebagai penampan terhadap sebarang potensi risiko penurunan.

 

“Kami juga lebih suka Hartalega kerana keupayaannya menjana aliran tunai operasi yang positif walaupun menghadapi pelbagai masalah,” katanya. - DagangNews.com