Menghayati dan memahami makna Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 10 March 2023

Menghayati dan Memahami Makna Islam

 

 

 

ISLAM adalah agama yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi SAW sebagai utusan terakhir untuk menjadi pedoman hidup seluruh manusia.

 

Islam dan muslim adalah dua istilah yang berbeza. Islam adalah agama, manakala muslim adalah penganut atau pemeluk agama.

 

Islam sering dinisbahkan dengan perilaku muslim atau masyarakat Islam. Namun begitu, perlu dijelaskan bahawa perilaku seseorang muslim atau masyarakat Islam belum tentu mencerminkan ajaran atau syariat Islam.

 

Menarik untuk difikirkan bersama bahawa kebanyakan penganut Islam atau muslim yang tidak berperilaku dan berkeperibadian seperti yang digambarkan dalam pengertian Islam yang sebenarnya.

 

Perkataan ‘Islam’ berbentuk ‘masdar’ (infinitif) berasal dari kata ‘aslama’ yang berakar dari kata ‘salama’. Pengertian Islam secara  secara umum adalah damai, selamat, tunduk, dan bersih.

 

 

islam

 

 

Terdapat pelbagai makna Islam dari sudut bahasa yang boleh difahami melalui al-Quran untuk diterapkan dan dihayati dalam kehidupan seharian sebagai hamba Allah SWT.

 

1. Islam berasal dari kata ‘al-salm’ yang bermaksud damai atau kedamaian

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian (al-salm), maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

 

Kata ‘al-salm’ dalam ayat di atas bermakna damai atau perdamaian yang merupakan salah satu makna dan ciri dari Islam. Islam adalah agama yang mengajarkan umat untuk cintakan dan memperjuangkan kedamaian, bahkan menolak peperangan atau konflik.

 

2. Islam berasal dari kata ‘aslama’ yang bermaksud berserah diri atau pasrah iaitu berserah diri kepada aturan Allah SWT

Penganut Islam merupakan seseorang yang secara ikhlas menyerahkan jiwa hanya kepada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya (aslama wajhahu) kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya.” (Surah al-Nisa: 125)

 

Setiap muslim diminta oleh Allah SWT untuk menyerahkan seluruh jiwa hanya kepadaNya. Bahkan, seluruh makhluk Allah sama ada di bumi mahupun di langit pasrah dan berserah diri kepada Allah SWT dengan mengikuti sunnatullah.

 

3. Islam berasal dari kata ‘istaslama – mustaslimun’

Ia yang bermaksud penyerahan total atau sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahkan mereka pada hari itu menyerah diri.” (Surah al-Saffat: 26)

 

Makna ini adalah sebagai pengukuh kepada makna ketiga, iaitu seorang muslim atau penganut agama Islam diperintahkan untuk menyerahkan secara total atau sepenuhnya jiwa, harta atau sesuatu yang dimiliki hanya kepada Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”  (Surah al-Baqarah: 208).

 

 

islam

 

 

Masuk Islam secara keseluruhan bermaksud menyerahkan diri secara total atau sepenuhnya kepada Allah dalam melaksanakan segala yang diperintahkan dan menjauhi segala yang dilarang.

 

4. Berasal dari kata ‘salim’ yang bermaksud bersih dan suci

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah al-Syu’ara: 89).

 

Makna ini menunjukkan bahawa Islam mampu menjadikan para penganut untuk memiliki kebersihan dan kesucian jiwa yang dapat mencapai kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

 

5. Islam berasal dari kata ‘salam’ yang bermaksud selamat dan sejahtera

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berkata Ibrahim: Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta ampun bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.” (Surah Maryam: 47).

 

Makna ini menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang sentiasa membawa manusia ke arah keselamatan dan kesejahteraan kepada setiap insan.

 

 

parafrasa

 

 

Demikianlah, makna Islam membawa dan mengandungi pelbagai kebaikan bahawa setiap muslim sewajarnya memiliki cinta, damai, pasrah kepada ketentuan Allah SWT, bersih dan suci, serta dijamin selamat di dunia dan akhirat jika melaksanakan ajaran Islam. - DagangNews.com

 

 
DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags