MCMC: Tindakan tegas ke atas mereka yang bangkitkan perkara 3R | DagangNews Skip to main content

MCMC: Tindakan tegas ke atas mereka yang bangkitkan perkara 3R

CYBERJAYA 21 Mac - Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din ingin memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian yang membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R – Race, Religion, Royalty) di media sosial dan aplikasi pemesejan.

 

Peringatan tersebut dibuat susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R yang berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

 

Ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.

 

Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

 

Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

 

Tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

 

Pentadbir portal-portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan digesa untuk menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform mereka.

 

Pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan.

 

Sekiranya terjumpa kandungan berbaur hasutan, provokasi atau pun menghina agama, Institusi Diraja dan perkauman, segera laporkan insiden tersebut kepada MCMC melalui portal Aduan MCMC di pautan berikut

https://aduan.skmm.gov.my/;

talian aduan: 1800-188-030;

WhatsApp di 016 2206 262 dan

e-mel di aduanskmm@mcmc.gov.my.

 

Pautan https://sebenarnya.my/salur/ juga boleh digunakan oleh orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu. - DagangNews.com