McGillicuddy Serious Party - Parti Badut New Zealand | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 3 November 2022

McGillicuddy Serious Party - Parti Badut New Zealand

 

 

 

PERTAMA kali saya memasuki Parlimen ialah sewaktu belajar di New Zealand. Bangunan Beehive di kota raya Wellington itu memang unik kerana reka bentuknya seperti sarang labah.

 

Pada masa sama, saya mengikuti perkembangan politik New Zealand yang kebetulan mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-41 sewaktu saya berada di tahun pertama universiti. Pilihan raya baru-baru ini ialah yang ke-52.

 

Sebagai anak muda saya agak teruja dengan sistem dan perjalanan demokrasi sebuah negara sekular itu. Kebebasan bersuara, media dan membuat pilihan secara terbuka di semua peringkat memberikan pengalaman penting kepada saya untuk melihat amalan demokrasi secara lebih matang.


 

beehive
Bangunan Parlimen New Zealand di Wellington.

 


Untuk peringkat pemilihan calon, pihak yang berminat perlu menghantar butiran peribadi masing-masing dan parti mengadakan proses saringan sebelum mereka dipilih oleh anggota parti.

 

Berbeza dengan pemilihan calon untuk parti di negara kita yang menggunakan lobi dan juga bomoh sebagai strategi.

 

Perbahasan untuk merangka perundangan di Parlimen melibatkan anggota yang dipilih oleh rakyat meletakkan demokrasi pada landasan yang sihat dan subur.

 

Secara kebetulan saya bersama seorang lagi menumpang di sebuah rumah pegawai Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) yang terletak bersebelahan dengan kediaman Perdana Menteri New Zealand ketika itu, mendiang Sir Robert Muldoon.


 

Sir Robert Muldoon

 


Kediaman PM itu sama saja dengan rakyat biasa. Ia tanpa pengawal dan pintu pagar sentiasa terbuka.

 

Muldoon - yang mengetuai Parti Nasional - ialah seorang politikus popular kerana wataknya. Dikatakan beliau membuat keputusan untuk mengadakan PRU ke-41 itu secara kilat dalam keadaan mabuk.

 

Ketika itu juga, pemimpin Parti Buruh, mendiang David Lange - yang masih muda dan sedang melonjak naik namanya - menjadi perhatian. Beliau mempunyai aura dan karisma yang turut membuatkan saya tertarik.

 

Perdebatan di antara kedua-dua pemimpin ini saya ikuti kerana memang cukup hebat. Mereka berhujah sebagai politikus yang mahu dipilih secara adil dan saksama. Soalan-soalan yang dikemukakan tiada saringan dan patah mematah hujah berlangsung secara berhemah.

 

Lange muncul menjadi PM termuda New Zealand pada abad lalu dan beliau berani berdepan dengan AS terutama dalam isu mengharamkan senjata nuklear. Krisis berlaku di antara kedua-dua negara dan saya sama berdemonstrasi menyokong gerakan antinuklear.

 

Itu semua pengalaman yang mengajar tentang demokrasi negara maju dan masih segar dalam ingatan. Saya juga mengikuti PRU ke-52 New Zealand, terutamanya kerana pemimpin Parti Buruh ialah graduan lepasan universiti lama saya, Jacinda Adern – seorang wanita muda.


 

Jacinda Ardern
                          Jacinda Ardern

 


PM New Zealand Jacinda Ardern menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Komunikasi dalam Perhubungan Awam dan Sains Politik di Waikato Management School dari 1999 hingga 2001.

 

Dipilih sebagai Perdana Menteri pada usia 37 tahun, Jacinda adalah ketua kerajaan wanita termuda di dunia, dan hanya yang kedua menjadi ibu semasa masih memegang jawatan selepas Benazir Bhutto.

 

Jacinda dilahirkan di Hamilton dan dibesarkan di Morrinsville dan Murupara.

 

Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Waikato, Jacinda menghabiskan masa bekerja sebagai penyelidik di Pejabat Perdana Menteri ketika itu Helen Clark dan Menteri Luar Negeri Phil Goff.

 

Dia kemudian berpindah ke luar negara iaitu ke London, di mana dia bekerja sebagai penasihat dasar kanan untuk PM Britain Tony Blair di Pejabat Kabinet UK. Dia juga telah dipinjamkan ke Pejabat Dalam Negeri untuk membantu dengan semakan kepolisan di England dan Wales.

 

Pada 2007 Jacinda menjadi wanita kedua yang pernah dipilih sebagai presiden Kesatuan Belia Sosialis Antarabangsa, pertubuhan belia politik antarabangsa terbesar di dunia, yang menyaksikannya menghabiskan masa di negara seperti Jordan, Israel, Algeria dan China.

 

Jacinda pertama kali bertanding sebagai calon Parti Buruh di Waikato pada 2008 dan memasuki Parlimen buat kali pertama sebagai ahli parlimen senarai. Pada 2017 beliau menjadi Ahli Parlimen Mt Albert dalam pilihan raya kecil, dan hanya sebulan kemudian beliau dipilih sebulat suara sebagai timbalan ketua Parti Buruh.

 

Berikutan peletakan jawatan Andrew Little, Jacinda telah dipilih tanpa bertanding sebagai ketua Parti Buruh pada 1 Ogos 2017. Dalam masa dua bulan dia telah dipilih sebagai Perdana Menteri wanita ketiga New Zealand.


 

auckland
Pemandangan indah kota Auckland, New Zealand.

 


Saya mengikuti perdebatan antara perdana menteri yang lalu dengan ketua pembangkang untuk mengukur sejauh mana perbezaan tahun-tahun 80-an dengan era sekarang.

 

Nampaknya keterbukaan dalam demokrasi mereka masih saja sama sedangkan ia terus menjadi sesuatu yang mitos untuk negara kita.

 

Ia adalah demokrasi tahap 1980-an yang tidak memajukan minda, malah demokrasi kita seakan-akan terus tertinggal.

 

Melihat ke belakang terutama apabila banyak rentetan peristiwa para politikus, saya teringat sebuah parti badut di New Zealand.

 

Walau apa pun alasan, sama ada wakil-wakil rakyat  jarang berbahas dan berkecuali di parlimen, seakan mereka adalah parti yang tidak serius dan parti lawak taraf nasional.

 

Saya tidak faham apakah objektif mereka membuang masa, wang, tenaga dan harapan para pengundi dengan bertanding pilihan raya, hanya untuk menjadi pelakon-pelakon sampingan.

 

Restropektif, kebetulan di kota tempat saya belajar, Hamillton, ada sekumpulan anak muda dan mahasiswa universiti yang muak dengan politik konvensional, menubuhkan McGillicuddy Serious Party (McGSP). Saya pernah menyertai McGSP kerana untuk merayakan penubuhan.


 

logo parti McGSP
Logo McGillicuddy Serious Party

 


Sebagai sebuah negara maju, New Zealand tidak menghalang pelajar berpolitik dan membenarkan kempen politik di kampus. Apa sahaja parti politik dibenarkan untuk ditubuh dan aktif bawah perundangan.

 

Lagipun, politik bukanlah setaraf agama seumpama orang Melayu. Menjadi wakil rakyat di New Zealand tiada keistimewaan dan tidak terlalu dimuliakan seperti wakil rakyat kita dari parti memerintah. Tiada pula lebai di New Zealand menubuhkan parti dengan tahaluf siyadi, unity government dan blok ketiga sebagai bahan strategi politik.

 

McGSP adalah parti politik satira di abad ke-20 lalu untuk memeriahkan politik New Zealand agar warga negara tidak begitu serius berpolitik. Dengan logo badut zaman pertengahan, McGSP mahu dikenali sebagai parti satira.

 

Calon-calon parti badut ini bertanding dalam pilihan raya tahun 1984, 1987, 1990, 1993, 1996 dan 1999. McGSP menerima undi terbanyak dalam pilihan raya 1993 yang mengikut first-past-the-post (FPP) di mana bertanding di 66 kerusi dari 99 kerusi parlimen.

 

Saya pernah mengikuti aktiviti McGSP sewaktu di kampus kerana terpikat dengan cara politik satira, jenaka, lawak dan komedi yang sama menarik ramai pengundi untuk berhibur.

 

Polisi McGSP adalah absurd dan tidak masuk akal. Manifesto secara literalnya menjanjikan bulan dan bintang.


 

McGillicuddy Serious Party

 


Antara janji-janji McGSP kalau memerintah New Zealand,

(1) Tahi lembu percuma.

(2) menghantar perisikan ke seluruh dunia untuk memadam New Zealand dari peta, maka New Zealand selamat dari diserang.

(3) Menghapuskan wang dan diganti dengan pasir.

(4) 100 peratus pekerjaan melalui perhambaan.

(4) Mengundi untuk pokok-pokok.

Dan paling kelakar, berjanji untuk memungkiri semua janji dalam manifesto!

 

Itulah parti badut yang pernah mendapat undi dalam pilihan raya di New Zealand.

 

Sedangkan kita terus malang, berdepan dengan parti sekular yang menggunakan ketuanan bangsa untuk merompak, dan parti lebai yang menggunakan agama dan tuhan untuk menjadi pemain simpanan.

 

Malang kerana, mereka politikus berbangsa Melayu yang tidak lebih setaraf dan lebih berbahaya merosakkan masa depan generasi dari parti badut bernama McGillicuddy Serious Party yang pernah wujud di New Zealand! 


 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags