MBSB Bank lancar aplikasi M TRADE memudahkan pelanggan urus pembiayaan perdagangan | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank lancar aplikasi M TRADE memudahkan pelanggan urus pembiayaan perdagangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - MBSB Bank Berhad telah melancarkan M TRADE Mobile App, aplikasi mudah alih pembiayaan perdagangan yang menyediakan kemudahan dan akses melalui penyelesaian sehenti.

 

Aplikasi tersebut menawarkan permintaan segera dalam talian melalui muat naik imbasan dan pengambilan dokumen serta maklumat had kemudahan dan status transaksi dalam masa nyata.

 

Berkongsi ciri aplikasi mudah alih itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata aplikasi M TRADE membolehkan pengguna menguruskan pembiayaan perdagangan mereka dengan lancar dan mudah.

 

“Dengan ciri keselamatan cap jari dan pengenalan muka, ia juga memberikan pemilik perniagaan ketenangan fikiran, mengetahui bahawa maklumat perniagaan mereka terjaga.

 

“Paparan yang menarik dan mesra pengguna membantu pengguna memahami ciri-ciri sedia ada dengan cepat dan dapat menguruskan kewangan mereka,” katanya.

 

 

Datuk Nor Azam M. Taib
Datuk Nor Azam M. Taib

 

 

Menurut Nor Azam, kedudukan pembiayaan perdagangan MBSB Bank bagi tahun kewangan 2022 berjumlah RM1.8 bilion dan beliau yakin dengan aplikasi M TRADE, yang telah direka untuk menyediakan produk dan perkhidmatan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

 

“Aplikasi itu bukan sahaja mempertingkatkan pengalaman pelanggan, ia juga membolehkan kedua-dua pengguna dan bank untuk memacu pertumbuhan perniagaan secara eksponen,” tambahnya.

 

M TRADE merupakan aplikasi mudah alih patuh syariah yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play, di mana pengguna kali pertama perlu melakukan pendaftaran di laman web MBSB Bank.

 

Pemilik perniagaan juga boleh mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan pembiayaan MBSB Bank seperti pembiayaan kontrak, pembiayaan pembangunan hartanah, pembiayaan peralatan, pembiayaan borong dan pembiayaan korporat. -DagangNews.com