Maybank IB kekal ‘neutral’ sementara menunggu perjanjian operasi MAHB dimuktamadkan | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal ‘neutral’ sementara menunggu perjanjian operasi MAHB dimuktamadkan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) ‘neutral’ terhadap perjanjian operasi (OA) baharu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) disebabkan penyelesaiannya berkemungkinan ditangguhkan.

 

Pada 9 Februari, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan kerajaan dan MAHB akan memuktamadkan dan menandatangani OA 2023 dan Perjanjian Pajakan yang berkaitan sebelum penghujung suku pertama 2023 (31 Mac).

 

“Kertas perundingan kedua yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini menyatakan ia menunggu ulasan untuk diterima selewat-lewatnya pada 31 Mac 2023 sebelum kertas perundingan ketiga diterbitkan,” kata firma tersebut.

 

Di samping itu, firma itu berkata sebahagian besar kertas perundingan kedua selaras dengan yang pertama dan MAVCOM masih mencadangkan dua Tempoh Kawal Selia (RP), di mana RP1 akan berlangsung dari 2024 hingga 2026 sementara RP2 mungkin dari 2027 hingga 2029.

 

“Semasa RP1, agensi tersebut mencadangkan pengekalan tarif dalam pada paras semasa namun diselaraskan untuk Indeks Harga Pengguna (IHP) dan bercadang mewujudkan mekanisme perkongsian kerugian dan keuntungan.

 

Semasa RP2, pemahaman kami ialah MAVCOM masih mencadangkan agar MAHB mengguna pakai model Asas Aset Terkawal (RAB),” katanya.

 

Menurut Maybank IB, tarif yang akan dinaikkan setiap tahun adalah perkara yang baik berbanding peningkatan setiap lima tahun sebelum ini.

 

Selain itu, mekanisme perkongsian keuntungan tidak mungkin digunakan kerana pulangan tersirat yang dibenarkan ialah RM1.1 bilion setahun iaitu 11.4% pulangan selepas cukai dibenarkan daripada RM9.7 bilion asas kos yang ditentukan, menurutnya yang mengunjurkan operasi di Malaysia menjana sehingga RM654 juta setahun.

 

Jika pulangan selepas cukai dibenarkan pada kadar 11.4% terpakai kepada kertas rundingan kedua juga, ia akan lebih tinggi daripada kadar 10.9% yang dicadangkan pada tahun kewangan 2019 (FY19).

 

Bagaimanapun, firma tersebut turut menekankan beberapa perkara negatif, di mana kerugian operasi di Malaysia sebanyak RM1 bilion semasa pandemik tidak akan dikira dalam mekanisme perkongsian kerugian.

 

Inflasi dalam tarif elektrik iaitu 20 sen/kWj dan peningkatan kos kakitangan juga mungkin melebihi pelarasan tarif berasaskan IHP di samping ketidakupayaan kumpulan itu mendapatkan balik pelaburan utama, contohnya sistem pengendalian kereta api aero dan bagasi KLIA, perluasan lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang, sehingga RP2

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) RM7.15 sementara menunggu pemuktamadan OA. -DagangNews.com