Matlamat perbankan Islam bukan keuntungan semata-mata | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 18 October 2022

MATLAMAT PERBANKAN ISLAM BUKAN KEUNTUNGAN SEMATA-MATA

 

 

MATLAMAT asal penubuhan bank konvensional adalah sebagai tempat untuk orang ramai menyimpan barang-barang berharga dan kemudiannya menawarkan kemudahan pinjaman kepada pihak yang memerlukan dana. 

 

Sebagai entiti perniagaan biasa, keuntungan adalah matlamat utama bank-bank ini. Dengan menggunakan kadar bunga sebagai asas untuk menentukan jumlah pulangan kepada penyimpan dan peminjam, maka ia akan memberikan kadar bunga yang rendah kepada penyimpan dan kadar bunga yang tinggi kepada peminjam.  

 

Semakin lebar jurang perbezaan kadar bunga ini semakin banyak keuntungan diperoleh, dan begitulah sebaliknya. Berdasarkan konsep bunga ini, maka keuntungan sebenar akan lebih memihak kepada bank.

 

Berbeza dengan matlamat bank konvensional, bank-bank Islam ditubuhkan berlandaskan faktor keuntungan dan keagamaan. Dalam erti kata lain, ia bagi mengembalikan fitrah sistem kewangan yang adil dan saksama. 

 

Oleh itu, pada ketika berusaha menjalankan perniagaan perbankan mengikut landasan syariah, bank-bank Islam akan memastikan mereka melaksanakan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan dan seterusnya menggunakan sebahagian keuntungan ini untuk memenuhi matlamat sosialnya.  

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagaimanapun, terdapat pendekatan yang berbeza antara bank-bank Islam ketika menguruskan strategi kewajipan sosial ini. 

 

Ada antaranya dengan jelas membuat ketetapan bertulis mengenai matlamat sosialnya dan melaksanakan pelbagai aktiviti.

 

Selain daripada menggabungkan faktor keuntungan dan sosial, perjalanan bank-bank Islam juga fokus kepada tuntutan-tuntutan keagamaan.  

 

Memandangkan bank-bank Islam lebih dikenali sebagai entiti yang berteraskan agama, maka segala falsafah, prinsip dan peraturan perniagaan dalam Islam perlu diamalkan. 

 

Falsafah, prinsip dan peraturan perniagaan Islam ini pula merupakan ketetapan yang telah dihuraikan di dalam Al-Quran dan Hadis.  

 

Faktor-faktor seperti keadilan, kesamaan, amanah, kejujuran, tiada pilih kasih, keuntungan bersama, tidak membazir dan memenuhi tanggungjawab adalah perkara yang mesti dipatuhi oleh bank-bank Islam. 

 

Oleh sebab pemberian dan pengambilan riba tidak dibenarkan, maka bank Islam beroperasi menggunakan prinsip-prinsip yang dibenarkan oleh syariah. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Prinsip-prinsip ini diletakkan dalam lima kategori utama iaitu kategori kongsi sama untung-rugi, kategori berdasarkan konsep jual beli, kategori berdasarkan nilai tokok, caj dan bayaran tetap, kategori khidmat percuma, dan akhirnya prinsip-prinsip dalam kategori sokongan.  

 

Dua prinsip utama di dalam kategori kongsi sama untung-rugi ialah mudarabah dan musyarakah.  Prinsip-prinsip dalam kategori jual beli terdiri daripada murabahah, bai muajjal, bai bithaman ajil, bai murabahah, bai musawamah, bai istisna, bai salam, prinsip dalam kategori  nilai tokok, caj dan bayar tetap terdiri daripada ijarah, jualah, wakalah, kafalah, ujr dan hiwalah.  

 

Hanya satu prinsip di dalam kategori khidmat percuma iaitu qard hassan dan prinsip-prinsip seperti wadiah dan rahn merupakan prinsip-prinsip syariah lain yang menyokong aktiviti perbankan Islam.  

 

Kategori kongsi sama untung-rugi merupakan kategori yang digalakkan penggunaannya kerana ia akan memberi manfaat yang tinggi dalam meningkatkan ekonomi orang Islam secara keseluruhan. Kategori khidmat percuma pula digunakan untuk pelaksanaan aktiviti sosial.

 

Kewujudan pelbagai prinsip syariah yang sesuai untuk digunakan membolehkan bank-bank Islam menawarkan keseluruhan produk dan perkhidmatan perbankan. 

 

Ini membolehkan pelanggan di kebanyakan negara Islam di dunia boleh membuat pilihan sama ada mahu mendapatkan khidmat perbankan Islam atau sebaliknya. 

 

 

gambar hiasan

 


 
Namun, pertalian antara pelanggan dan bank Islam bergantung kepada prinsip syariah yang digunakan untuk sesuatu perkhidmatan tersebut. 

 

Disebabkan bank Islam menggunakan prinsip syariah, kewujudannya diharap mendapat sambutan dan sokongan terutamanya daripada umat Islam sendiri. 
 

Konsep percayakan hari akhirat, konsep kekayaan dan konsep kejayaan dalam Islam sepatutnya dapat menanamkan semangat kesetiaan pelanggan terhadap bank Islam.  

 

Selain itu, dengan tertanamnya sifat tanggungjawab dan kejujuran sama ada dalam kalangan pelanggan mahupun kakitangan bank itu sendiri, besar kemungkinan operasi pembiayaan yang dilaksanakan oleh bank-bank Islam dapat membantu membesarkan perniagaan pelanggan.

 

Tetapi, pada masa sama, ia juga dapat membentuk pelanggan menjadi usahawan muslim yang juga mengamalkan prinsip-prinsip keusahawanan Islam. - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags