Mangsa banjir di Perak meningkat, 856 penduduk dipindahkan  | DagangNews Skip to main content

Mangsa banjir di Perak meningkat, 856 penduduk dipindahkan 

Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas di Changkat Jong awal pagi 18 November 2022.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 18 Nov - Hujan lebat sejak petang semalam dan awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air sekali gus menambah bilangan penduduk yang dipindahkan.

 

Sehingga pukul 10 pagi tadi seramai 856 penduduk melibatkan 235 keluarga dipindahkan berbanding semalam iaitu 615 mangsa daripada 108 keluarga.

 

Antaranya melibatkan daerah Hulu Perak, Kinta, Perak Tengah, Hilir Perak, Manjung, Larut Matang Selama dan Kerian manakala 13 buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

 

Difahamkan paras air Sungai Perak di Kampung Lintang, Kuala Kangsar berada pada paras berjaga-jaga apabila mencatatkan 54.11 meter.

 

 

banjir
Kenderaan berat diguna untuk memindahkan penduduk berikutan paras air naik mendadak.

 

banjir
Pasukan tentera memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara.

 

banjir
Sukarelawan bencana menyiapkan pembukaan PPS di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Intan malam tadi.

 

 

Sungai Bernam membabitkan lembangan Sungai Slim di Slim River turut naik iaitu pada paras 24.96 meter.

 

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Perak telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat.

 

Ia melibatkan kawasan Larut Matang dan Selama, Kerian, Kuala Kurau, Selinsing, Parit Buntar, Hilir Perak, dan Kinta Perak Tengah

 

Justeru penduduk di kawasan berisiko diingatkan untuk mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga sebarang kemungkinan berlakunya banjir. - DagangNews.com