Mandat rakyat penawar ampuh kestabilan politik - PM | DagangNews Skip to main content

Mandat rakyat penawar ampuh kestabilan politik - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai ke arah pengunjung selepas merasmikan Jelajah AKM Melaka di MITC Ayer Keroh pada 14 Oktober 2022. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

MELAKA 14 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan negara memerlukan kerajaan yang harmoni dan bersatu hati bagi menghadapi persekitaran yang mencabar. 

 

Ini memberi keyakinan kepada Perdana Menteri terhadap keputusannya untuk membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu memandangkan mandat akan dipulangkan kembali kepada rakyat.

 

"Mandat rakyat adalah adalah penawar ampuh bagi menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan yang teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

"Saya yakin Keluarga Malaysia di Melaka akan menggunakan hak untuk memilih kerajaan yang mampu mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

 

Pada Isnin lalu, Ismail Sabri telah mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Menurut beliau, kerajaan sentiasa memastikan Keluarga Malaysia di negeri Hang Tuah ini terus mengecapi kemakmuran. 

 

"Ini diperkukuhkan menerusi konsep Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran tanpa meminggirkan mana-mana pihak. 

 

 

pm

 

 

"Konsep yang mula diperkenalkan sewaktu saya mula menerajui tampuk pimpinan Kerajaan pada 22 Ogos 2021, kini menjadi semakin sinonim dengan gaya hidup dan kesepaduan Keluarga Malaysia pada hari ini.

 

"Keluarga Malaysia menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga dan bersifat inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

 

"Saya juga gembira kerana masyarakat berbilang kaum di negeri bersejarah ini meneruskan kehidupan harian secara harmoni ibarat sebuah keluarga. Bak kata pepatah, 'pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama'," katanya.

 

Beliau berkata, melalui konsep Keluarga Malaysia, rakyat hidup dalam sebuah institusi keluarga yang sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah, memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela dan tidak dipinggirkan.

 

Katanya, konsep ini juga selari dengan nilai ‘tasamuh’ atau toleransi, merupakan antara resipi dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat, selain pentingnya memiliki sebuah kerajaan yang berkebolehan mentadbir bagi kekal maju ke hadapan.

 

"Dengan bersendikan konsep Keluarga Malaysia dan sifat tasamuh ini, segala perbezaan dan kepelbagaian yang dikurniakan Allah SWT di bumi bertuah ini, mampu dirai dan dihargai oleh seluruh rakyat dengan hati yang terbuka," katanya. 

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sektor pelancongan di negeri ini akan terus diperkasa menerusi projek Ecotourism Paya Lebar dengan peruntukan sebanyak RM2.3 juta dan projek menaik taraf Kolam Ayer Panas Gadek sebanyak RM17.9 juta.

 

Beliau berkata, kerajaan turut meluluskan beberapa projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naik Taraf (PPUN) dengan nilai peruntukan sejumlah RM5.9 juta terhadap fasiliti pelancongan yang tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik yang lalu.

 

"Beberapa bantuan dan inisiatif turut diberi kepada penggiat pelancongan, misalnya pada tahun ini, sebanyak RM1.9 juta telah disalurkan kepada penggiat pelancongan di Melaka termasuk pengusaha inap desa (homestay) dan hotel, pemandu pelancong dan agensi pelancongan," katanya.

 

Beliau berkata, bagi memastikan Keluarga Malaysia terus menikmati infrastruktur yang selesa dan selamat, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM22.3 juta untuk menyenggara jalan persekutuan di Melaka.

 

Dalam sektor pendidikan pula, terdapat 56 projek baharu dan sambungan di Melaka bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan RM788 juta, katanya.

 

"Dalam bidang kesihatan pula, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Pergigian Pediatrik di Hospital Melaka sedang dinaik taraf. Klinik Kesihatan dengan kuarters Simpang Bekoh, Jasin sedang dibina dengan peruntukan RM63 juta dan dijangka siap pada tahun 2023 dan 2024.

 

"Bagi pembangunan luar bandar, sejumlah RM442 juta diperuntukkan bagi 38 buah projek pembangunan di kawasan luar bandar untuk kelestarian, kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.

 

"Bagi golongan berpendapatan rendah di Melaka, kerajaan telah melaksanakan program perumahan rumah mampu milik (RMM) sebanyak 12,876 unit sama ada siap dibina atau dalam perancangan setakat bulan Ogos 2022," katanya.

 

Dalam pada itu katanya, sebanyak RM929.8 juta diluluskan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan RM585 juta bagi projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk menangani masalah kekurangan bekalan air. - DagangNews.com